Sunday, June 03, 2007

Saturday, June 02, 2007

secebis daripada waktu

Mungkin benar apa yang dia katakan. Aku bukan lagi orang yang dia kenali dulu. Aku berubah dengan masa dan tempat yang membawa aku. Aku menjadi orang lain. Bukan orang yang sama, aku berubah tanpa aku sedari.

Malam itu aku cuba untuk melelapkan mata. Aku buaikan otak aku dengan benda-benda besar dan benda-benda kecil. Jasad aku memang terbaring tetapi tiada roh terangkat. Ingatan aku lalu melayang kepadanya. Menjemput aku dan menolak aku pada masa yang sama.

''Kau tahu bukan, kita sudah berjarak jauh. Kau dalam haluan kau, aku dalam haluan aku, kita berdua telah menjadi orang yang berbeza,'' beritahu dia pada aku.

Langit pada ketika itu menutup senja. Warna-warna merah dan kuning membelah langit yang semakin menghitam. Di satu padang hijau yang luas, hanya wujud aku dan dia. Berbual dalam satu realiti yang tidak pernah hadir. Dia merenung aku. Matanya masih lagi tajam dan ayu seperti dahulu. Aku mendongak ke atas dan kemudian menunduk ke bawah kembali.

''Aku sedar tentang semua perkara yang berlaku. Aku yang memutuskannya awal dahulu dan aku yang menanggungnya kini.

''Aku tahu tentang keadaan ini, aku tahu tentang semua kesudahan ini, cuma aku ingin beritahu,
Aku tidak pernah mahu semua ini,''

Jawapan itu tidak pernahnya lengkap. Aku diam. Kembali ke perbaringan yang gelap, aku berseorangan membisu. Bintang-bintang tiada menyapa. Bulan hanya tunduk bisu. Aku memejamkan mata, meminta waktu cepat berlalu.