Saturday, February 26, 2011

goodbye.. hello



Tahniah kepada diri sendiri, sekali lagi aku menjadi orang yang gagal. Mungkin tidak salah mencuba tapi hampeh!!!!.... sakit siot bila gagal. Kecederaan, walaupun tak nampak darah, sebenarnya amat parah. Secara teknikal, sistem kehidupan aku menjadi lumpuh. Setiap doktrin yang aku pegang, setiap harapan yang aku mimpi, bertukar menjadi debu ditiup angin. Dalam logik yang hampir pecah terlerai, aku kini langsung tidak hirau sama ada waktu itu siang atau malam. Aku tidak peduli apa itu masa depan atau masa lampau. Aku hanya dapat lihat empat dinding di sekelilingku dan satu siling serta satu lantai yang menelangkupku. Bila difikirkan balik, kenapa gagal yang perlu aku bertemu? untuk apa aku berusaha jika akhirnya aku tersungkur jatuh terkulai layu?

Sama seperti kebanyakan soalan-soalan aku terdahulu? aku tiada jawapan. Aku tiada masa pun untuk memikirkan jawapan. Bukan hendak kata 24 jam aku itu mutlak untuk perkara lain, tapi masa aku itu hanya terisi apa yang tidak lebih daripada marah, kecewa, sakit, pedih, bingung, keliru, tenggelam dan sedih hingga aku tertunduk. Aku patutnya rasa malu. Lebih dari itu, aku patut kambus diri aku dalam tanah. Perkara yang aku berterus-terang sebenarnya bukan perkara yang dikongsi bersama. Aku punya cita-cita tapi bukan di tangan aku segala daya. Aku patutnya sedar, dia awal-awal lagi telah memperingatkan aku. Dengan lembut dia telah memberitahuku. Namun dalam kebisuan, dia menutupku. Dalam senyum yang pahit, aku tewas sebagaimana aku yang terdahulu.

Jadi bagaimana soalnya masa hadapan? Aku hanya mahu pandang ke langit dan aku harap segalanya kosong bila aku pandang ke hadapan. Aku tahu tiada apa yang aku boleh buat mengenai masa lampau, semuanya tinggal di belakang. Segala senyuman, pengalaman, kenangan dan harapan lalu hanya akan menghanyutkan aku kembali. Ia bukan mudah, ibarat tangan aku yang hancur, aku terpaksa putuskan sebelum luka itu merebak dan meragut nyawaku. Memang aku boleh nyatakan, betapa begitu dia adalah seorang yang cukup bermakna. Aku boleh hidup dalam realiti itu tapi aku terpaksa hidup dalam realiti aku sendiri. Supaya dapat aku teruskan perjalanan ini, dan mungkin Insyaallah, aku tidak perlu berjumpa kecewa seperti ini lagi.

Aku selalu fikir yang kasih sayang itu adalah melangkaui batas ruang dan waktu. Tidak perlu katakan jarak beribu-ribu kilometer yang jauh, dalam alam yang berbeza pun, kasih dapat wujud. Buat masa ini, aku masih belum bernasib baik. Bagaimanapun, aku tetap berharap suatu hari nanti aku dapat berjumpa dengan seseorang. Aku berharap supaya perbualan itu mesra dan indah dengan senyumannya. Lebih dari seorang kawan, Aku mahu berkongsi kegembiraan dengannya. Aku berdoa supaya kehidupan untuk dia dan aku adalah bahagia bersama. Biarpun waktu menjadi sukar, aku berdoa supaya ketabahan bersama kami berdua. Pengembaraan adalah sesuatu yang menarik dan aku berharap dapat memegang tangannya. Walaupun tidak dapat dilihat mata, aku harap dia tahu di mana hati aku, yang mana adalah sentiasa untuk dirinya.