Sunday, March 19, 2006

Birokrasi Kita

Birokrasi. Bukankah itu yang menghancurkan apa yang kita pernah ada? Bila semua orang hanya memikirkan kepentingan sendiri. Tamak dan Haloba tersengih-sengih dalam jiwa. Tidak pernahkah terlintas kepada mereka, apa yang sepatutnya diwariskan kepada keturunan seterusnya?

Dunia kini begitu malap. Jaguhan-jaguhan dahulu sudah letih lagi lesu. Suatu masa ketika, mereka mungkin dapat menggagahkan segala keringat. Dengan datangnya suatu kebangkitan, mereka membawa semua semangat untuk membinanya. Cuma apa yang para jaguhan ini tidak nampak ialah yang sebenarnya segerombolan insan munafik turut sama menyertainya.

Dengan waktu yang perlahan laju berjalan, tarik-menarik mula berlaku sehingga kesemua yang tinggal ialah mereka yang berpura-pura. Siapa yang tinggal kiranya jika para jagoan sudah dimamah usia? Akhirnya kesemua sekali termasuk kita yang darah masih menyala ini tenggelam dalam kemunafikan diri.

Kini yang tinggal hanya sisa. Semua cuba mencari. Merobek-robek celahan yang kelihatan. Rata-ratanya membuka kompas dan hanya dapat melihat arah barat. Dan kesitu kesemua anak muda kita pergi. Sayang benar, apa yang milik para jaguhan, apa yang patutnya terbina, sudah tiada.

Kita tidak lagi memiliki tiang yang dapat menegakkan semua yang pernah digapai. Dunia kelesuan. Tiada lagi nafas untuknya kerana sesak dengan hiprokasi dan birokrasi. Tiada lagi kejujuran untuk diberitahu kepada masyarakat. Yang tinggal ialah persembahan kosong dengan khalayak yang berpura-pura arif mengenainya. Bodoh semuanya.

Pentas hanya dipenuhi dengan mereka yang dahagakan kuasa dan wang ringgit. Tiada siapa lagi yang mahu berbakti melainkan ia kepada diri sendiri. Akhirnya, aku dan mereka yang sama denganku semua terkapai-kapai. Bagaimana mahu menceritakan semua ini bukan persoalannya. Aku hanya ingin tahu bagaimana hendak memulakannya kembali. Semuanya bukan untuk aku, tapi untuk mereka selepasku.

Tuesday, March 14, 2006

balik sendiri

Boleh tak kita bercakap dengan diri sendiri? Maksud aku, setelah saban hari disuapkan dengan pelbagai kata-kata dari pelbagai orang menerusi peti tv, kertas suratkhabar atau manusia di sekitar lingkungan hidup, boleh tak kita berhenti sejenak dan bercakap dengan diri sendiri? Memberitahu balik pada diri mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Berhenti untuk merasakan masa meniup ke hadapan muka dengan jasad kita masih tegak di atas muka bumi.

Aku penat sebenarnya. Kerap benar tugas aku mendengar. Memerhatikan apa yang berlaku pada manusia di sekeliling tanpa menyedari masa aku pun tengah berjalan. Memang ia menyeronokkan sekali-sekala dan juga menyakitkan hati sekali-sekala. Sebahagian daripada lumrah yang aku malas nak cakap tapi kita semua tahu. Entah bila hendak semua ini hendak berhenti. (Ya, aku sedar aku macam tengah minta mati)

Bila tengok pada suatu masalah. Susah macam mana pun perkara itu pasti ada penyelesaiannya. Itu apa yang aku cuba beritahu diriku setiap hari. Iaitu setiap kali aku bangun pagi dan terus menyalakan sebatang rokok di bibirku. Jelas benar, kusut itu dah berakar dalam tubuh dan penyelesaian yang aku maksudkan itu tak lebih daripada satu bayangan timbul daripada harapan. Gurun dengan bayangan airnya.

Aku cuba melihat dalam diri orang lain. Dengan membandingkan apa yang baik dan buruk antara mereka dengan aku, pantas sahaja aku buat kesimpulan. Tapi kemudian, bukan apa yang kita lihat itu adalah nyata. Aku berundur balik. Bagaimana keputusannya? Menyala lagi sebatang rokok.

Kelakar juga rasanya di umur 25 tahun ini. Ibubapa aku kini sudah menjadi warga emas. Masa inilah aku perlu menggalas tugas menjaga mereka. Dalam keadaan yang tidak berniat, aku mengamati mereka berdua. Banyak betul rupanya sifat mereka yang turun pada aku. Hendak kata semuanya baik, tidak juga. Ada juga kelemahan mereka mengalir dalam darah aku. Dan dalam semua itu, ada juga yang tidak turun. Tertawa kecil aku. Rupanya dari sini, datangnya sifat aku yang sentiasa cuba bersangka baik. Dan juga sikap bertangguh dan panik bila ada besar berlaku. Di situ juga asalnya. Genetik mungkin sama tapi cap jarinya berbeza.

Aku hendak pulang sebentar lagi. Terima kasih kepada Iwan Fals, Damon Albarn dan Dave Matthew yang menemani taipan ini. Ko mungkin tak kenal aku. Atau pun ko mungkin tak kenal berpuluh ribu manusia yang mendengar lagu korang. Tapi rasanya, mereka semua pun sama macam aku. Berterima kasih kepada Engkorang berdua.

Rasanya dah cukup lama aku bercakap dengan diri sendiri ini. Masa untuk berbalik ke dunia nyata. Dunia yang kalau silap haribulan, aku boleh tersadung kaki ke tanah semasa berjalan. Dunia yang belum tahu untung ruginya melainkan kita tahu meniliknya. Aku tidak tipu, aku boleh meniliknya. Seperti sekarang ini, aku menilik aku akan pulang sebentar lagi. hihihihiihihi