Wednesday, December 19, 2007

Better Together by Jack Johnson

Sejak kebelakangan ini, situasi di Johor adalah antara hujan dan juga banjir. Cuaca sentiasa kuyu, seolah-olah dia melihat kau dengan muka yang tidak bermaya. Keadaan yang berlaku ini jelas sekali membuatkan amat sukar untuk mentari mencelah. Dalam aku duduk merenung langit, ingatan aku berpatah balik kepada seorang teman baikku dulu yang amat menghargai matahari tengahari. Keriangannya itu sentiasa membawa gembira. Bagaimanapun, ketara sekali, ketika itu, aku tidak nampak apa yang dia nampak. Aku gagal untuk melihat makna kehidupan yang dibawa daripada setiap pancaran yang diberikan. Bukan maksud aku untuk menggunakan cuaca sebagai metafora dalam penulisan tapi hendak atau tidak, ia amat mempengaruhi kehidupan. Buat masa ini, setiap kali aku melamun tengok langit cerah, aku akan tersandar untuk melihat keindahannya. Dengan hiasan awan putih berarak gebu, matahari benar-benar merupakan watak utama yang berkesan di sebalik latar langit biru. Ditemani bunyi runut daripada Jack Johnson, aku cuba melihat sejauh mana nasib aku di bawah matahari ini. Nampaknya, ia adalah tetap cerita yang sama seperti dahulu. Aku terpaksa tersenyum pahit kerana aku tahu mengenainya.