Thursday, June 30, 2005

Mengenalinya

Aku kenal dia. Itu apa yang aku boleh katakan. Dari semua segi, aku pernah melihatnya. Dari ketika sama-sama aku dan dia bergembira seolah-olah berterbangan di langit biru hinggalah ke waktu-waktu pahit yang semuanya nampak hitam. Sakitnya, kehitaman itu masih terpalit pada diriku dan dirinya. Harusnya kesakitan itu dapat kami harungi tapi bagaimana kalau aku dan dirinya tidak dapat bangun lagi.

Di awal perkenalanku, apa yang aku rasa ialah dia merupakan anak gadis paling comel di bumi ini. Telatahnya yang petah berkata-kata, senyumannya yang tak lekang di bibir, membuatkan sesiapa melihatnya berada dalam satu kegembiraan yang nyata. Kadang-kadang aku pun terpengaruh dengannya yang suka memberi makanan kepada para kucing. Dan sedekahnya sentiasa untuk si miskin. Dan Air matanya mengalir kepada mereka yang menderita.

Tapi apa yang buat aku betul-betul tertarik padanya ialah kepandaian dalam dirinya yang lahir dari kejujuran. Kata-katanya sering membuat aku terpukau sehingga aku seringkali terpaksa mendiamkan diri. Betapa bodohnya diriku pada waktu itu. Dalam kelas, kami sering bersaing. Sebenarnya aku yang bersaing, dia tidak, cuma dia sentiasa akan tercabar dengan sikap berlumba-lumba pada orang lain yang mendabik dada. Tapi aku ingin katakan di sini, aku bukan begitu sebenarnya.

Dari waktu itu. Kemungkinan ia perbezaan pandangan yang pertama antara aku dengan dia. Aku ini memang suka berseloroh. Kalau orang benar-benar mengenali aku, mereka memang tahu aku sentiasa berseloroh. Rupa-rupa sikap aku terhadapnya pada waktu itu dilihatnya berbeza. Dia menyangka aku mencabarnya untuk membuktikan kesombonganku. Sesungguhnya, tak pernah sesekali terlintas dalam diriku niat itu.

Walaupun begitu, dari situ, aku dengan dia pun bermula. Asal seorang kawan akhirnya menjadi rapat seperti kekasih. Pada waktu kebanyakan, aku mungkin akan berbual dengan dia tentang kerja-kerja di universiti. tapi lebih dari itu, kami mula berbual tentang hidup masing-masing. Secara tak langsung, aku mengenali apa yang disebaliknya, dan dia mengetahui apa yang tersirat dalam diriku. Kami akan menghabiskan petang-petang indah di taman permainan untuk menghisap rokok dan berbual. Waktu itu aku dengan dia berada dalam ketenangan yang tak pernah ku rasa. Aku bagai boleh menceritakan apa sahaja. Dan dia kemungkinan akan mendengarnya atau kadang-kadang menggelakkan selorohku. Dengan diriku yang kelam kabut dan tak terurus, sudah menjadi biasa aku menjadi bahan ketawa orang ramai. Sumpahan untuk aku rasanya.

Dalam pada itu, aku mula dapat melihat tompok-tompok hitam dalam perjalanan hidupnya. Banyak kisah-kisahnya adalah apa yang aku tak pernah sangka. Seolah-olah ia tidak patut berada dalam realiti kerana kepahitan dialaminya itu adalah lebih daripada seseorang dapat terima. Perlahan-lahan, tumpuan aku kini betul-betul tertumpah padanya. Sebagai seorang sahabat fungsi aku tidak berkesan, Aku perlu mencintainya sebab dengan itu aku dapat menyelami semua kesedihan dan membawa dia keluar untul bergembira. Aku tak terfikir langsung tentang diriku masa itu. Yang penting, aku bersama dengan dia.

Sejak dari itu, kami sering keluar berjalan bersama-sama. mengintai kompleks-kompleks membeli-belah, meneroka ceruk kota dan kampung serta menghabis waktu di kedai minum untuk bersembang sambil menghembuskan nafas rokok.

Sayangnya, dia berjumpa aku pada saat kejatuhan aku. Dalam hidup aku, waktu itu cukup mengerikan dan tak pernah aku berasa keadaan yang membuatkan aku terpaku sehingga tidak dapat melakukan apa-apa. Ada waktunya melarikan diri. Itu tidak membantu. Ada waktunya, aku teraba-raba mencari arah. Itu juga tidak menampakkan hasil. Dalam waktu itu, dia menyaksikan aku menjadi manusia yang hilang arah. Saat aku tanpa kematangan. Hidup dalam kehinaan. Aku bekerja dan diberhentikan. Aku bekerja dan menyaksikan semangatku hilang sehingga akhirnya aku berhenti. Aku berkerja benda-benda sementara yang menyaksikan aku terpaksa menjual kepada orang di jalanan atau mencuci lantai. Siapa aku masa itu? Manusia yang tiada hala tujunya. Tapi siapa sangka, rahmat tuhan tidak terputus untukku. Alhamdulillah ku ucapkan.

Semasa dalam waktu itu, dia berada di sisiku. Dia menyaksikan segalanya. Bayangkan keadaan sedih dirinya, untuk tidak mengetahui apa untuk dipercayai. Tapi banyaknya salah aku juga waktu. Dia melihat aku sebagai lelaki yang jujur dalam kehidupan aku sebelum ini. Sebab itu dia jatuh cinta pada aku. Sebaliknya, aku begitu mahukan dia, sehinggakan aku terlalukan mengikut rentak serta caranya. Akhirnya masing-masing tersesat. Dan kami selalu terpaksa bergaduh atas perkara-perkara kecil yang tiba-tiba menjadi besar.


Terlalu banyak perpisahan dan pertemuan semula antara aku dengan dia. Semua ini atas sebab ketidak matanganku mengendalikan dirinya. Dan ruang-ruang kosong itu mengisi ketakutan dalam dirinya. Dia tidak melihat seperti dulu lagi. Sebalik dia kini cukup takut dengan aku. Dia kata aku berubah-ubah dan tidak ada pegangan. Bukan begitu sayang. Maafkan aku kerana terpaksa melihat aku menjadi dewasa dengan keadaan yang teruk sekali. Kerana aku, dia terpaksa berkongsi ketakutan aku masa tu. Betapa mahalnya harga yang terpaksa dibayar untuk cinta. Tapi hadirnya aku kini untuk mengubah semuanya. Sampai bila untuk jadi budak patutnya. Kini aku tahu apa yang aku perlu lakukan. Dan aku benar-benar berharap dia memegang erat tanganku kembali untuk perjalanan hidup ini.

Dan benar kata-katanya. Hidup ini bagaikan satu pusingan. Jika sebelum ini. Malang jatuh menimpa diriku. Cubaan dan cabaran pada waktu ini pula mula menimpanya. Selepas satu demi satu kejadian berlaku. Semuanya mengugat perhubungan aku dengan dia. Kini dia terpaksa mengalami pelbagai kesusahan, yang aku sebenarnya amat sangat cuba membantu. Meskipun dia sering menolak aku ketepi kerana katanya tiada lagi kejujuran dalam diriku. Aku tidak mengiyakan semua itu, sebab niat yang benar-benar jauh di dalam hati ini, ialah aku benar-benar menyayanginya. Dan aku sesekali tidak akan mencuranginya. Biarlah banyak wanita yang berlalu di hadapanku, hatiku tetap menjadi miliknya dan hanya senyumannya yang dapat menerangi hidupku.

Malangnya, seperti insan lain yang lemah, kerap kali kami tewas dalam pertelingkahan yang akhirnya menghancurkan diri masing-masing. Aku sebenarnya cuba bersabar. Aku kuatkan hati aku. Aku katakan tidak pada semuanya. Tapi kemarahan dan ketakutan perlahan-lahan menguasai aku. Dan akhirnya aku meletup. Aku menyesal sebenarnya. Aku kesal. Tapi apa yang aku lagi sedih ia apabila dia sering tidak mempercayai aku. Dia kerap melihat aku sebagai satu kejahatan. Namun bukan itu aku sebenarnya. Aku tidak menggatal atau seperti katanya mengintai dari jauh. Aku sudah punya dia dan kataku, ia sudah cukup.

Tapi seperti yang kukatakan tadi, kebijakannya dengan kata-kata sering kali membakar api dalam diriku yang akhirnya aku sendiri tak dapat dikawal. Dia menyerang aku dan terus menyerang seolah semua yang ditakutkan itu benar. Tapi semuanya tidak wahai sayangku. Tidak sesekali aku ingin melukakanmu. Hatiku terlalu lembut. Dan kalau ia terisi, sebenarnya ia terisi sayangku padanya. Kalaulah dia dapat melihat semua itu. Kalaulah dia tidak mengatakan segala yang bukan padaku. Pada waktu ini, kami berdua dalam ketegangan. Aku seperti biasa akan bertahan untuknya. Aku bukan tempat untuk dia melemparkan benci. Sepatutnya, aku menjadi tempat untuk dia melahirkan sayang. Kerana itu yang apa aku mahu sebenarnya. untuk aku dengan dia saling sayang-menyayangi dan faham memahami. Semoga sembuh cintamu padaku wahai sayangku. Aku sentiasa di sisi jujur menemani. Kerana kalau bukan awak, saya tidak mahukan mana-mana wanita pun dalam dunia ini. Aku adalah untukmu!!!

Tuesday, June 28, 2005

di sebalik berita

KUALA LUMPUR 27 Jun _ Bukankah kita semua benci dengan politik ofis. Bila ada orang atas, mesti ada orang bawah. Dan bila wujud keadaan itu, mesti ada orang yang cuba mengambil kesempatan untuk diri-diri masing. Saling mempergunakan demi kepentingan sendiri, sehingga sanggup menyukarkan hidup orang lain yang langsung tak bersalah. Aku selalu juga jadi orang yang tak bersalah tu. Tapi apa nak buat.

Manusia berbeza. Ada yang sombong. Ada yang pelik. Ada yang malas. Ada yang rajin. Kenyataan menyedihkan lagi tatkala kita semua hidup di muka bumi yang sama. Dan lebih teruk lagi, kita cari rezeki di tempat yang sama. Tidak boleh terlalu keras. Tapi tidak boleh terlalu lembut. Aku kadang-kadang jumpa juga manusia yang tahu mencintai dirinya sendiri sahaja. Aku pikir, mereka ini manusia yang menyusahkan.

"Itu yang buat aku kadang-kadang terpikir untuk jadi operator pengeluaran jer. Habis cerita. Hari-hari mengadap mesin. Sembang dengan mesin. Aku buat kerja aku. Produktiviti tetap tinggi meskipun gaji rendah. Alamak! takkan nak gaji rendah. Sekurang-kurangnya biarlah hidup ni selesa dan berkemampuan. Kalau aku berada di situ aku sebenarnya berangan-angan untuk mencari dunia sempurna," kata pikiran yang merapu tengah tekanan.

Untuk panjat ke atas, hendak tak nak, mesti juga jumpa manusia-manusia yang menyusahkan kita. Tekanan tu! Dia orang cakap macam-macam. Dia orang buat perkara macam-macam. Tapi semua perlu dilalui. Hidup inikan putaran siang dengan malam. Berapa lama mereka boleh selesa sebenarnya. Walau macam mana pun, dia orang perlukan aku juga. Jadi aku pun buat kerja aku. Sebab apa? Sebab aku dibayar gaji untuk buat kerja aku. Dia orang pikir yang bukan-bukan, biarkan jelarrr. Janji aku buat kerja aku. Dan aku tak nak kerja di sini selama-lamanya. Nak tahu sebab apa? Aku lebih daripada kerja aku! Aku ada maksud aku sendiri!!!!!!!!!

-habis

Saturday, June 18, 2005

Mengingatkan semula

Fuuhhh... lama juga tak bercerita
Banyak jugak berlaku....
Tapi tak tahu bagaimana untuk bercerita

hidup
mesti ada pasang surut
masalahnya aku.
kalau masa naik, aku terhanyut menerju laut dalam
kalau masa turun, aku terdampar telanjang atas pantai

Pelik bukan
Hairan bila dipikirkan
Sampai bila begini???

Bila buka dompet
kadang-kadang boleh nampak serangga melayang-layang
Melihatkan kamar
Aku tak pasti sama ada itu tempat tidur
atau Aceh yang baru dilanda tsunami

Masa berjalan laju
Aku macam tidak sedar
Alih-alih aku sudah 24 tahun...
ARGHHHH!!!!!!!!!
tahun depan jadi 25 tahun...
ARGHHHH!!!!!!!!

Harta apa pun takder
Keringat diperah tapi hasilnya tak nampak

Orang-orang yang tersayang
(Alamak kena talipon mak larrr)
Banyak betul benda yang dikenang
Aku mahu mereka tahu bahawa aku sayang mereka.
Kena berhenti dilihat sebagai robot
padahal jauh dalam lubuk hari ini berpusar satu aura bernama perasan

Besok nak bangun awal
Aku nak bawa dia keluar
Aku nak buat dia gembira
Aku nak dia rasa selamat
Aku cinta dia

Cita-cita InsyaAllah akan tercapai
Dia sebahagian daripada cita-cita aku bukan
(ada banyak senarai sebenarnya... nak beli rumah, buka kedai buku, menang Peraduan Menulis skrip, bikin filem, jadi berakhlak serta beriman, dan senarainya berterusan......)

Hampeh betul
Bila aku tengok semua balik
Namun
Benda berlaku bersebab bukan...
Aturkan balik
Uruskan semula
Jalankan semua
Perjalanan belum terhenti
selagi itu terus berusaha
Dalam satu konsistensi
Yup... Konsistensi

Monday, June 13, 2005

lukisan kemanusiaan

Menonton Kingdom of Heaven adalah melihat pelukisan sejarah kemanusiaan. Pertembungan budaya dan agama telah wujud berzaman-zaman dan ia masih hidup sehingga ke hari ini. Masing-masing perlu berdiri menghadap kiblat masing-masing, tiada siapa mahu mengalah dan pada masa yang sama, tiada siapa juga mahu bergaduh. Mereka ingin memelihara apa yang mereka ada.

Keadaan cuma menjadi kacau apabila ada manusia-manusia yang melampui batas. Mereka yang dirasuk kekuasaan menjadi alpa sehingga tidak mengendahkan lagi keburukan yang mereka bawa kepada orang lain dan akhirnya, kepada diri sendiri jua. Itulah yang terjadi kepada tentera Salib apabila mereka bertindak membunuh adik Salahuddin Al-Ayubi. Mereka ingat mereka berkuasa, tapi akhirnya ia memakan diri sendiri sehingga terjatuhnya Baitulmaqdis kepada Umat Islam. Akhirnya, permasalahan yang timbul bukan semata-mata disebabkan faktor agama, tetapi ia terjadi lantaran kebiadaban manusia yang memegang agama tersebut.

Sebenarnya, asalkan kita jujur dan ikhlas, tak mustahil untuk kita melihat jalan kebenaran yang sentiasa wujud. Kita perlu yakin yang apa kita lakukan adalah untuk kebaikan semua dan bukan mengikut nafsu amarah semata-mata.

Berdasarkan pemerhatian saya yang melihat di atas dasar sahaja, pelukisan Kindom of Heaven antara kuasa Kristian dan Islam, adalah tidak ubah seperti keadaan dimana suatu masa dahulu dunia terbahagi kepada fahaman demokrasi yang didukung oleh Amerika dan fahaman Komunis yang dijunjung oleh Soviet Union. Dua kuasa besar yang dapat menentukan nasib dunia, mujurlah tidak berlaku peperangan besar yang akhirnya akan memusnahkan kita semua, termasuk umat Islam. Ditakdirkan hari ini, Amerika menjadi raja dan Soviet hilang di mata dunia.

Bagaimana nasib dunia selepas ini, dengan keangkuhan Amerika menjadi-menjadi? Selepas Afghanistan, Iraq, siapa pula akan menjadi mangsa? Mereka tidak akan pernah puas, cuma mereka kini cukup pandai untuk belajar bersabar dengan ketamakan yang tidak pernah berhenti. Mereka cukup pandai berdiplomasi, sehingga niat tersembunyi seolah-olah tidak pernah terpatri. Namun sampai bila ia akan berterusan?

Sehingga ke hari ini, umat Islam masih menunggu pemimpin bijakasan seperti Salahudin yang dapat membaca permainan dunia ini. Seorang pemimpin ikhlas yang seterusnya dapat menyatukan umat yang berpecah belah akibat kepentingan masing-masing. Seorang pemimpin adil yang tahu pada masa bila untuk berdamai dan pada masa bila untuk mengajar mereka yang melampaui batas!

Semoga Allah merahmati dunia yang kita hidup ini. Perjalanan akan tertulis, apa yang akan terjadi, kita masih belum tahu.

-Penulis adalah bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Manjung

Tuesday, June 07, 2005

ADA TAHAPNYA UNTUK BERUBAH

Sejak kapan Anda bisa bangun subuh? Tampaknya sepele, tapi banyak yang tidak bisa melakukannya kecuali dengan jam weker yang berdering berkali-kali. Anda merasa bisa sehingga tidak tahu kapan mulai bangun subuh karena sejak kecil sudah dibiasakan. Seperti kata pepatah, kita bisa karena biasa. Anda secara otomatis bangun di waktu subuh atau bahkan dua jam sebelum itu karena Anda sudah terbiasa.

Meskipun Anda sedang merasa capek, pada jam-jam itu Anda pun akan bangun tanpa harus dibangunkan. Kalaupun Anda harus dibangunkan, maka tak perlu bersusah payah karena Anda sudah terbiasa.

Apakah yang dimaksud dengan terbiasa? Yang Anda sebut dengan “sudah terbiasa” sebenarnya merupakan hasil dari proses belajar, tergantung pada apakah proses belajar itu tanpa disengaja dan tanpa disadari ataukah proses itu dijalankan secara sengaja oleh orang tua kita dan sekaligus disertai pemahaman. Proses belajar tidak selalu berupa pembiasaan perilaku. Ia bisa berupa perolehan pemahaman sehingga mempengaruhi cara kita merasa. Bila pikiran itu kita hayati betul, cara kita merasa pun akan terpengaruhi.

Secara keseluruhan, apa yang kita lakukan sehari-hari merupakan hasil belajar bertahun-tahun. Bisa jadi, prosesnya semenjak kita masih kecil dan memperoleh penguatan terus-menerus sampai kita dewasa, sehingga berurat akar dalam diri kita. Dalam hal ini, proses belajar akan kita sebut learning. Bila Anda ingin memiliki perilaku yang lebih baik, memiliki kebiasaan baru untuk mengganti kebiasaan Anda sebelumnya, Anda perlu melakukan re-learning ‘belajar kembali’. Sebelum melakukan re-learning, terlebih dahulu kita perlu melakukan proses unlearning, yakni meniadakan hasil-hasil belajar, baik dalam bentuk perilaku maupun pikiran.

Alhasil, Anda tidak bisa serta-merta menyuruh seseorang (istri terhadap suami misalnya) untuk berubah. Anda perlu sadari bahwa kebiasaannya yang tidak Anda sukai merupakan hasil belajar selama bertahun-tahun. Anda perlu sabar dan melakukannya setahap demi setahap. Jika tidak, justru dia bisa semakin menjengkelkan karena kebiasaan yang tidak Anda sukai malah akan semakin menjadi-jadi.

Bila Anda menginginkan suami Anda menghilangkan kebiasaannya merokok, ceritakanlah kepadanya hal-hal menarik yang membuatnya tergugah dan hal-hal buruk yang membuarnya ngeri. Anda tidak perlu melarangnya berhenti merokok sekarang juga sebab itu terasa mustahil bagi dia.

Orang lebih mudah melakukan sesuatu yang baru daripada meninggalkan kebiasaan yang sudah berpuluh tahun ia lakukan. Lebih-lebih jika ia menemukan kenikmatan ketika menjalani kebiasaan itu. Karena itu, meskipun unlearning merupakan proses untuk menghapus kebiasaan atau sikap yang buruk, tetapi lebih baik kita menjadikan sebagai proses belajar yang baru, yakni membiasakan sesuatu yang baru.

Seseorang akan lebih mudah melakukan perubahan apabila dalam dirinya sudah ada kesiapan mental. Ada beberapa hal yang membuat kita lebih cepat memiliki kesiapan mental, antara lain dengan adanya informasi yang positif, terutama yang berkaitan dengan manfaat yang akan Anda peroleh, karena hal ini akan mendorong Anda untuk memiliki kesiapan mental yang lebih baik.

Suami Anda akan merasa lebih siap secara mental bila Anda memberi dukungan kepadanya. Karena itu, yakinkanlah dia bahwa Anda siap membantunya dan tidak kecewa apabila dia belum mampu berubah secara total. Beri dorongan bahwa hal itu sangat baik untuknya. Anda juga bisa bercerita kepada dia tentang diri Anda sendiri maupun orang lain ketika sedang berusaha untuk mengubah diri. Ini karena kita cenderung lebih memiliki kekuatan mental apabila kita merasa ada orang lain yang seperti kita atau sudah ada orang-orang yang sebelumnya melakukan seperti yang kita lakukan. Wallahu a’lam bish-shawab.


©MUNAWIR SADZALI RAZAK, awal 2003, taken from manajemenqolbu.comhttp://www.munawir.cjb.net

Thursday, June 02, 2005

Kolej kerajaan antara punca IPTS bumiputera hilang peranan

Oleh KAMIL MASLIH dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Langkah kerajaan menubuhkan Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Kolej Komuniti antara faktor utama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bumiputera kehilangan peranannya sehingga menyebabkan berlaku masalah kekurangan pelajar yang kritikal.

Malah, dasar pendidikan tinggi negara yang sering berubah turut menjadi punca kepada masalah tersebut sehingga mengakibatkan sejumlah 123 IPTS bumiputera terpaksa `gulung tikar'.

Hampir keseluruhan polisi yang dahulunya memberi kepentingan kepada IPTS bumiputera telah ditarik balik sehingga mengakibatkan institusi berkenaan gagal mendapatkan semula modal keuntungan untuk meneruskan operasi.

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Datuk Dr. Ismail Md. Salleh, sebelum tahun 1999, IPTS bumiputera mengalami pertumbuhan yang rancak apabila diberi tanggungjawab untuk menjalankan program matrikulasi bagi universiti awam.

``Namun, ia mula berubah apabila kerajaan menubuhkan Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan yang menyebabkan program tersebut ditarik balik sehingga IPTS terpaksa menanggung kerugian besar.
``Kerugian itu berlaku kerana program tersebut hanya sempat berjalan selama tiga tahun sedangkan kebanyakan IPTS telah membelanjakan sehingga RM7 juta dalam penyediaan kelengkapan dan prasarana untuk tujuan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kelmarin Dr. Ismail, mendedahkan sebanyak 123 IPTS bumiputera `gulung tikar', manakala 30 lagi `tenat' disebabkan masalah kekurangan pelajar.

IPTS bumiputera merujuk kepada pemilikan 51 peratus ekuiti adalah milik bumiputera, 50 peratus tenaga pengurusan dan pengajar adalah bumiputera dan lebih 50 peratus pelajarnya juga bumiputera.

Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, idea penubuhan Kolej Komuniti adalah hasil rundingan persatuannya dengan Kementerian Pelajaran.

Tujuannya ialah untuk memberi peluang pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar di seluruh negara, katanya.

``Bagaimanapun pelaksanaan kolej tersebut pada tahun 2001 diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan dan ini mengakibatkan IPTS bumiputera sendiri terpaksa bersaing dengannya bagi mendapatkan pelajar,'' katanya.

Sehubungan itu beliau merayu diperbanyakkan lagi insentif kepada IPTS bumiputera sebagaimana yang dinikmati oleh sektor-sektor lain, misalnya industri pelancongan.

``Ini kerana IPTS bumiputera melibatkan soal pendidikan dan lebih banyak pelajar bumiputera akan mengikuti pengajian mereka di sana.
``Kami berharap kerajaan akan memandang serius perkara ini supaya IPTS bumiputera tidak akan terus `gulung tikar','' katanya.

Pendapat itu turut disokong oleh Setiausaha Gabungan Persatuan-Persatuan Pendidikan Swasta Malaysia, Nordin Abdul Malek yang menyifatkan perubahan dasar pengajian tinggi negara sebagai punca utama kepada kegagalan IPTS bumiputera.

``Bukan sahaja IPTS bumiputera terpaksa `gulung tikar' tetapi IPTS bukan bumiputera juga terpaksa berbuat demikian.
``IPTS bumiputera kelihatan serius kerana mereka ini mahu bertahan dan menyediakan sistem pendidikan berkualiti tinggi,'' katanya.

Kata Nordin, insentif yang disediakan kepada IPTS bumiputera juga tidak banyak seperti mana sektor-sektor lain termasuk perkilangan yang mendapat dana yang besar.

``Pembiayaan kepada pelajar-pelajar di IPTS bumiputera juga perlu diteruskan bagi memastikan tidak berlakunya kekurangan pelajar,'' tambah beliau.

Wednesday, June 01, 2005

hmmm.... (menguap)

Hari ni aku bangun lewat (seperti biasa), bila begitu, aku pun masuk kerja lewat (seperti biasa gak) Apapun, mulakan hari dengan sebatang rokok, dan seterusnya hisap rokok lagi. Subuh aku jadi gajah. Bukannya tak sedar jam loceng berbunyi, daya nak bangun takde. Kadang-kadang rasa kosong gak hidup ini. Pusingan biasa yang sementara. Aku tak pikir sangat. Malas nak melayan.

Cuba gak call Wa pagi tadi. Malam semalam dia nampak mandom jerr. Tak tau apa yang dia pikir. Kalaulah aku boleh selam hati dia dan buat dia gembira. Mungkin dengan membuatnya gembira, aku nampak gak tujuan hidup aku. Tapi dia ada meeting rupanya. Kena aku menunggu. Aku tetap menunggu.

Malam ni balik kampung. Boss macam ada instict jerr yang aku nak gerak awal. Alih-alih aku dapat tugasan malam. Terpaksalah aku membuat liputan Chan Kong Choy pada maghrib nanti. Hampeh! Tapi dah biasa dah. Nama pun kerja aku. Buka susulan, dia orang suruh aku tanya Samy Vellu pasal parlimen bocor. Apa kejadahnya dia orang nak aku lakukan. Benda tu macam tak relevan lagi dah. Tapi takperlar, nama pun kerja aku. Suatu hari nanti bila aku buka majalah aku sendiri, tahulah apa aku nak tulis. Buat masa ini, bertahan sajalah.

Ini ada berita terbaru! aku tak perlu cover chan kong choy! yer!!!!! tiba-tiba jer hidup terasa best. betul larr, semua perkara dalam hidup ini sementara. Kita cuma kena melaluinya dan mengharapkan yang terbaik. tapi kalau datang yang tak terjangka, kita harus bertahan kerana ia cuma sementara.

Apa yang nak ditulis seterusnya? Ada banyak benda juga boleh ditulis, tapi biarlah aku simpan dulu. Nanti aku bercerita lagi. Bercerita mengenai dunia kepada dunia. Buat masa ini, semoga dunia aman agar kita semua bahagia.

-habis