Aku kenal dia. Itu apa yang aku boleh katakan. Dari semua segi, aku pernah melihatnya. Dari ketika sama-sama aku dan dia bergembira seolah-olah berterbangan di langit biru hinggalah ke waktu-waktu pahit yang semuanya nampak hitam. Sakitnya, kehitaman itu masih terpalit pada diriku dan dirinya. Harusnya kesakitan itu dapat kami harungi tapi bagaimana kalau aku dan dirinya tidak dapat bangun lagi.
Di awal perkenalanku, apa yang aku rasa ialah dia merupakan anak gadis paling comel di bumi ini. Telatahnya yang petah berkata-kata, senyumannya yang tak lekang di bibir, membuatkan sesiapa melihatnya berada dalam satu kegembiraan yang nyata. Kadang-kadang aku pun terpengaruh dengannya yang suka memberi makanan kepada para kucing. Dan sedekahnya sentiasa untuk si miskin. Dan Air matanya mengalir kepada mereka yang menderita.
Tapi apa yang buat aku betul-betul tertarik padanya ialah kepandaian dalam dirinya yang lahir dari kejujuran. Kata-katanya sering membuat aku terpukau sehingga aku seringkali terpaksa mendiamkan diri. Betapa bodohnya diriku pada waktu itu. Dalam kelas, kami sering bersaing. Sebenarnya aku yang bersaing, dia tidak, cuma dia sentiasa akan tercabar dengan sikap berlumba-lumba pada orang lain yang mendabik dada. Tapi aku ingin katakan di sini, aku bukan begitu sebenarnya.
Dari waktu itu. Kemungkinan ia perbezaan pandangan yang pertama antara aku dengan dia. Aku ini memang suka berseloroh. Kalau orang benar-benar mengenali aku, mereka memang tahu aku sentiasa berseloroh. Rupa-rupa sikap aku terhadapnya pada waktu itu dilihatnya berbeza. Dia menyangka aku mencabarnya untuk membuktikan kesombonganku. Sesungguhnya, tak pernah sesekali terlintas dalam diriku niat itu.
Walaupun begitu, dari situ, aku dengan dia pun bermula. Asal seorang kawan akhirnya menjadi rapat seperti kekasih. Pada waktu kebanyakan, aku mungkin akan berbual dengan dia tentang kerja-kerja di universiti. tapi lebih dari itu, kami mula berbual tentang hidup masing-masing. Secara tak langsung, aku mengenali apa yang disebaliknya, dan dia mengetahui apa yang tersirat dalam diriku. Kami akan menghabiskan petang-petang indah di taman permainan untuk menghisap rokok dan berbual. Waktu itu aku dengan dia berada dalam ketenangan yang tak pernah ku rasa. Aku bagai boleh menceritakan apa sahaja. Dan dia kemungkinan akan mendengarnya atau kadang-kadang menggelakkan selorohku. Dengan diriku yang kelam kabut dan tak terurus, sudah menjadi biasa aku menjadi bahan ketawa orang ramai. Sumpahan untuk aku rasanya.
Dalam pada itu, aku mula dapat melihat tompok-tompok hitam dalam perjalanan hidupnya. Banyak kisah-kisahnya adalah apa yang aku tak pernah sangka. Seolah-olah ia tidak patut berada dalam realiti kerana kepahitan dialaminya itu adalah lebih daripada seseorang dapat terima. Perlahan-lahan, tumpuan aku kini betul-betul tertumpah padanya. Sebagai seorang sahabat fungsi aku tidak berkesan, Aku perlu mencintainya sebab dengan itu aku dapat menyelami semua kesedihan dan membawa dia keluar untul bergembira. Aku tak terfikir langsung tentang diriku masa itu. Yang penting, aku bersama dengan dia.
Sejak dari itu, kami sering keluar berjalan bersama-sama. mengintai kompleks-kompleks membeli-belah, meneroka ceruk kota dan kampung serta menghabis waktu di kedai minum untuk bersembang sambil menghembuskan nafas rokok.
Sayangnya, dia berjumpa aku pada saat kejatuhan aku. Dalam hidup aku, waktu itu cukup mengerikan dan tak pernah aku berasa keadaan yang membuatkan aku terpaku sehingga tidak dapat melakukan apa-apa. Ada waktunya melarikan diri. Itu tidak membantu. Ada waktunya, aku teraba-raba mencari arah. Itu juga tidak menampakkan hasil. Dalam waktu itu, dia menyaksikan aku menjadi manusia yang hilang arah. Saat aku tanpa kematangan. Hidup dalam kehinaan. Aku bekerja dan diberhentikan. Aku bekerja dan menyaksikan semangatku hilang sehingga akhirnya aku berhenti. Aku berkerja benda-benda sementara yang menyaksikan aku terpaksa menjual kepada orang di jalanan atau mencuci lantai. Siapa aku masa itu? Manusia yang tiada hala tujunya. Tapi siapa sangka, rahmat tuhan tidak terputus untukku. Alhamdulillah ku ucapkan.
Semasa dalam waktu itu, dia berada di sisiku. Dia menyaksikan segalanya. Bayangkan keadaan sedih dirinya, untuk tidak mengetahui apa untuk dipercayai. Tapi banyaknya salah aku juga waktu. Dia melihat aku sebagai lelaki yang jujur dalam kehidupan aku sebelum ini. Sebab itu dia jatuh cinta pada aku. Sebaliknya, aku begitu mahukan dia, sehinggakan aku terlalukan mengikut rentak serta caranya. Akhirnya masing-masing tersesat. Dan kami selalu terpaksa bergaduh atas perkara-perkara kecil yang tiba-tiba menjadi besar.
Terlalu banyak perpisahan dan pertemuan semula antara aku dengan dia. Semua ini atas sebab ketidak matanganku mengendalikan dirinya. Dan ruang-ruang kosong itu mengisi ketakutan dalam dirinya. Dia tidak melihat seperti dulu lagi. Sebalik dia kini cukup takut dengan aku. Dia kata aku berubah-ubah dan tidak ada pegangan. Bukan begitu sayang. Maafkan aku kerana terpaksa melihat aku menjadi dewasa dengan keadaan yang teruk sekali. Kerana aku, dia terpaksa berkongsi ketakutan aku masa tu. Betapa mahalnya harga yang terpaksa dibayar untuk cinta. Tapi hadirnya aku kini untuk mengubah semuanya. Sampai bila untuk jadi budak patutnya. Kini aku tahu apa yang aku perlu lakukan. Dan aku benar-benar berharap dia memegang erat tanganku kembali untuk perjalanan hidup ini.
Dan benar kata-katanya. Hidup ini bagaikan satu pusingan. Jika sebelum ini. Malang jatuh menimpa diriku. Cubaan dan cabaran pada waktu ini pula mula menimpanya. Selepas satu demi satu kejadian berlaku. Semuanya mengugat perhubungan aku dengan dia. Kini dia terpaksa mengalami pelbagai kesusahan, yang aku sebenarnya amat sangat cuba membantu. Meskipun dia sering menolak aku ketepi kerana katanya tiada lagi kejujuran dalam diriku. Aku tidak mengiyakan semua itu, sebab niat yang benar-benar jauh di dalam hati ini, ialah aku benar-benar menyayanginya. Dan aku sesekali tidak akan mencuranginya. Biarlah banyak wanita yang berlalu di hadapanku, hatiku tetap menjadi miliknya dan hanya senyumannya yang dapat menerangi hidupku.
Malangnya, seperti insan lain yang lemah, kerap kali kami tewas dalam pertelingkahan yang akhirnya menghancurkan diri masing-masing. Aku sebenarnya cuba bersabar. Aku kuatkan hati aku. Aku katakan tidak pada semuanya. Tapi kemarahan dan ketakutan perlahan-lahan menguasai aku. Dan akhirnya aku meletup. Aku menyesal sebenarnya. Aku kesal. Tapi apa yang aku lagi sedih ia apabila dia sering tidak mempercayai aku. Dia kerap melihat aku sebagai satu kejahatan. Namun bukan itu aku sebenarnya. Aku tidak menggatal atau seperti katanya mengintai dari jauh. Aku sudah punya dia dan kataku, ia sudah cukup.
Tapi seperti yang kukatakan tadi, kebijakannya dengan kata-kata sering kali membakar api dalam diriku yang akhirnya aku sendiri tak dapat dikawal. Dia menyerang aku dan terus menyerang seolah semua yang ditakutkan itu benar. Tapi semuanya tidak wahai sayangku. Tidak sesekali aku ingin melukakanmu. Hatiku terlalu lembut. Dan kalau ia terisi, sebenarnya ia terisi sayangku padanya. Kalaulah dia dapat melihat semua itu. Kalaulah dia tidak mengatakan segala yang bukan padaku. Pada waktu ini, kami berdua dalam ketegangan. Aku seperti biasa akan bertahan untuknya. Aku bukan tempat untuk dia melemparkan benci. Sepatutnya, aku menjadi tempat untuk dia melahirkan sayang. Kerana itu yang apa aku mahu sebenarnya. untuk aku dengan dia saling sayang-menyayangi dan faham memahami. Semoga sembuh cintamu padaku wahai sayangku. Aku sentiasa di sisi jujur menemani. Kerana kalau bukan awak, saya tidak mahukan mana-mana wanita pun dalam dunia ini. Aku adalah untukmu!!!