Thursday, June 02, 2005

Kolej kerajaan antara punca IPTS bumiputera hilang peranan

Oleh KAMIL MASLIH dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Langkah kerajaan menubuhkan Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Kolej Komuniti antara faktor utama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bumiputera kehilangan peranannya sehingga menyebabkan berlaku masalah kekurangan pelajar yang kritikal.

Malah, dasar pendidikan tinggi negara yang sering berubah turut menjadi punca kepada masalah tersebut sehingga mengakibatkan sejumlah 123 IPTS bumiputera terpaksa `gulung tikar'.

Hampir keseluruhan polisi yang dahulunya memberi kepentingan kepada IPTS bumiputera telah ditarik balik sehingga mengakibatkan institusi berkenaan gagal mendapatkan semula modal keuntungan untuk meneruskan operasi.

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Datuk Dr. Ismail Md. Salleh, sebelum tahun 1999, IPTS bumiputera mengalami pertumbuhan yang rancak apabila diberi tanggungjawab untuk menjalankan program matrikulasi bagi universiti awam.

``Namun, ia mula berubah apabila kerajaan menubuhkan Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan yang menyebabkan program tersebut ditarik balik sehingga IPTS terpaksa menanggung kerugian besar.
``Kerugian itu berlaku kerana program tersebut hanya sempat berjalan selama tiga tahun sedangkan kebanyakan IPTS telah membelanjakan sehingga RM7 juta dalam penyediaan kelengkapan dan prasarana untuk tujuan tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kelmarin Dr. Ismail, mendedahkan sebanyak 123 IPTS bumiputera `gulung tikar', manakala 30 lagi `tenat' disebabkan masalah kekurangan pelajar.

IPTS bumiputera merujuk kepada pemilikan 51 peratus ekuiti adalah milik bumiputera, 50 peratus tenaga pengurusan dan pengajar adalah bumiputera dan lebih 50 peratus pelajarnya juga bumiputera.

Dalam pada itu, Ismail menjelaskan, idea penubuhan Kolej Komuniti adalah hasil rundingan persatuannya dengan Kementerian Pelajaran.

Tujuannya ialah untuk memberi peluang pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar di seluruh negara, katanya.

``Bagaimanapun pelaksanaan kolej tersebut pada tahun 2001 diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan dan ini mengakibatkan IPTS bumiputera sendiri terpaksa bersaing dengannya bagi mendapatkan pelajar,'' katanya.

Sehubungan itu beliau merayu diperbanyakkan lagi insentif kepada IPTS bumiputera sebagaimana yang dinikmati oleh sektor-sektor lain, misalnya industri pelancongan.

``Ini kerana IPTS bumiputera melibatkan soal pendidikan dan lebih banyak pelajar bumiputera akan mengikuti pengajian mereka di sana.
``Kami berharap kerajaan akan memandang serius perkara ini supaya IPTS bumiputera tidak akan terus `gulung tikar','' katanya.

Pendapat itu turut disokong oleh Setiausaha Gabungan Persatuan-Persatuan Pendidikan Swasta Malaysia, Nordin Abdul Malek yang menyifatkan perubahan dasar pengajian tinggi negara sebagai punca utama kepada kegagalan IPTS bumiputera.

``Bukan sahaja IPTS bumiputera terpaksa `gulung tikar' tetapi IPTS bukan bumiputera juga terpaksa berbuat demikian.
``IPTS bumiputera kelihatan serius kerana mereka ini mahu bertahan dan menyediakan sistem pendidikan berkualiti tinggi,'' katanya.

Kata Nordin, insentif yang disediakan kepada IPTS bumiputera juga tidak banyak seperti mana sektor-sektor lain termasuk perkilangan yang mendapat dana yang besar.

``Pembiayaan kepada pelajar-pelajar di IPTS bumiputera juga perlu diteruskan bagi memastikan tidak berlakunya kekurangan pelajar,'' tambah beliau.

No comments: