Menonton Kingdom of Heaven adalah melihat pelukisan sejarah kemanusiaan. Pertembungan budaya dan agama telah wujud berzaman-zaman dan ia masih hidup sehingga ke hari ini. Masing-masing perlu berdiri menghadap kiblat masing-masing, tiada siapa mahu mengalah dan pada masa yang sama, tiada siapa juga mahu bergaduh. Mereka ingin memelihara apa yang mereka ada.
Keadaan cuma menjadi kacau apabila ada manusia-manusia yang melampui batas. Mereka yang dirasuk kekuasaan menjadi alpa sehingga tidak mengendahkan lagi keburukan yang mereka bawa kepada orang lain dan akhirnya, kepada diri sendiri jua. Itulah yang terjadi kepada tentera Salib apabila mereka bertindak membunuh adik Salahuddin Al-Ayubi. Mereka ingat mereka berkuasa, tapi akhirnya ia memakan diri sendiri sehingga terjatuhnya Baitulmaqdis kepada Umat Islam. Akhirnya, permasalahan yang timbul bukan semata-mata disebabkan faktor agama, tetapi ia terjadi lantaran kebiadaban manusia yang memegang agama tersebut.
Sebenarnya, asalkan kita jujur dan ikhlas, tak mustahil untuk kita melihat jalan kebenaran yang sentiasa wujud. Kita perlu yakin yang apa kita lakukan adalah untuk kebaikan semua dan bukan mengikut nafsu amarah semata-mata.
Berdasarkan pemerhatian saya yang melihat di atas dasar sahaja, pelukisan Kindom of Heaven antara kuasa Kristian dan Islam, adalah tidak ubah seperti keadaan dimana suatu masa dahulu dunia terbahagi kepada fahaman demokrasi yang didukung oleh Amerika dan fahaman Komunis yang dijunjung oleh Soviet Union. Dua kuasa besar yang dapat menentukan nasib dunia, mujurlah tidak berlaku peperangan besar yang akhirnya akan memusnahkan kita semua, termasuk umat Islam. Ditakdirkan hari ini, Amerika menjadi raja dan Soviet hilang di mata dunia.
Bagaimana nasib dunia selepas ini, dengan keangkuhan Amerika menjadi-menjadi? Selepas Afghanistan, Iraq, siapa pula akan menjadi mangsa? Mereka tidak akan pernah puas, cuma mereka kini cukup pandai untuk belajar bersabar dengan ketamakan yang tidak pernah berhenti. Mereka cukup pandai berdiplomasi, sehingga niat tersembunyi seolah-olah tidak pernah terpatri. Namun sampai bila ia akan berterusan?
Sehingga ke hari ini, umat Islam masih menunggu pemimpin bijakasan seperti Salahudin yang dapat membaca permainan dunia ini. Seorang pemimpin ikhlas yang seterusnya dapat menyatukan umat yang berpecah belah akibat kepentingan masing-masing. Seorang pemimpin adil yang tahu pada masa bila untuk berdamai dan pada masa bila untuk mengajar mereka yang melampaui batas!
Semoga Allah merahmati dunia yang kita hidup ini. Perjalanan akan tertulis, apa yang akan terjadi, kita masih belum tahu.
-Penulis adalah bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Manjung