Birokrasi. Bukankah itu yang menghancurkan apa yang kita pernah ada? Bila semua orang hanya memikirkan kepentingan sendiri. Tamak dan Haloba tersengih-sengih dalam jiwa. Tidak pernahkah terlintas kepada mereka, apa yang sepatutnya diwariskan kepada keturunan seterusnya?
Dunia kini begitu malap. Jaguhan-jaguhan dahulu sudah letih lagi lesu. Suatu masa ketika, mereka mungkin dapat menggagahkan segala keringat. Dengan datangnya suatu kebangkitan, mereka membawa semua semangat untuk membinanya. Cuma apa yang para jaguhan ini tidak nampak ialah yang sebenarnya segerombolan insan munafik turut sama menyertainya.
Dengan waktu yang perlahan laju berjalan, tarik-menarik mula berlaku sehingga kesemua yang tinggal ialah mereka yang berpura-pura. Siapa yang tinggal kiranya jika para jagoan sudah dimamah usia? Akhirnya kesemua sekali termasuk kita yang darah masih menyala ini tenggelam dalam kemunafikan diri.
Kini yang tinggal hanya sisa. Semua cuba mencari. Merobek-robek celahan yang kelihatan. Rata-ratanya membuka kompas dan hanya dapat melihat arah barat. Dan kesitu kesemua anak muda kita pergi. Sayang benar, apa yang milik para jaguhan, apa yang patutnya terbina, sudah tiada.
Kita tidak lagi memiliki tiang yang dapat menegakkan semua yang pernah digapai. Dunia kelesuan. Tiada lagi nafas untuknya kerana sesak dengan hiprokasi dan birokrasi. Tiada lagi kejujuran untuk diberitahu kepada masyarakat. Yang tinggal ialah persembahan kosong dengan khalayak yang berpura-pura arif mengenainya. Bodoh semuanya.
Pentas hanya dipenuhi dengan mereka yang dahagakan kuasa dan wang ringgit. Tiada siapa lagi yang mahu berbakti melainkan ia kepada diri sendiri. Akhirnya, aku dan mereka yang sama denganku semua terkapai-kapai. Bagaimana mahu menceritakan semua ini bukan persoalannya. Aku hanya ingin tahu bagaimana hendak memulakannya kembali. Semuanya bukan untuk aku, tapi untuk mereka selepasku.