Tuesday, September 05, 2006

bunga api


Sepanjang aku hidup dalam muka bumi ini, aku tak pernah lagi melihat bunga api (yang besar punya, bukan yang stok main masa raya tu) meletup betul-betul di atas kepala aku. Jadi bila benda ini berlaku semasa aku 'cover' sambutan merdeka di danga bay 31 ogos lalu, aku begitu terpegun dan terasa takjub. Seolah-olah aku ini seorang budak yang seronok mendapat mainan. Agaknya, begitulah yang aku dapat gambarkan.

Yang kelakarnya, aku dan bob (photographer) tiba di tempat itu memang betul-betul tepat pada masanya. Kitaorang sampai lagi dua minit sebelum diaorang laung 'merdeka'. Yelarrr, masa tu 'jam'nya amat dasyhat. Dengan kereta, motosikal serta budak2 basikal(mak bapak diaorang tahu ke anak diaorang keluar ni) yang berpusu-pusu, perjalanan yang sepatutnya berminit, dah jadi berjam. Nak dijadikan cerita, aku dengan bob yang naik kereta aku rasa bosan dengan semua stesyen radio masa tu. Jadi bila kitaorang terbuka sebuah stesyen radio tamil, kitaorang pun layan jelarrr. Terasa macam integrasi nasional pulak.

Tempat parking bukannya mudah nak dapat. Hendak tak hendak, akhirnya kitaorang parking dekat satu tempat yang agak jauh juga dari tapak sambutan. Jauhnya macam mana ya nak cerita, rasanya tak keterlaluan kalau aku cakap dekat tiga batang rokok boleh habis. Bila dah sampai tu, aku dengan bob pun pakat berlari lar. Masa dah tak banyak tinggal. Dalam gelap tanpa sebarang lampu, kitaorang meredah semua lecah dan lumpur yang ada (tapak parking tu masih belum ditar lagi). Sambil berlari tu, kitaorang menangkap semua bunyi yang ada macam ''ya, lagi lima minit lagi kita akan sambut...'' serta ''perdana menteri telah pun bersiap sedia untuk...''. Bila dah dengar macam tu, tidak ker kelam kabut jadinya.

Namun begitu, aku dengan bob berlari sambil gelak. Kebimbangan aku cuma satu, andai kata kitaorang lambat, bob takkan dapat gambarnya. Mana boleh biar benda tu berlaku. Selain berita, suratkhabar dijual kerana gambarnya. Setelah habis berlumpur kasut dan seluar, aku dan bob akhirnya sampai di tapak sambutan dalam keadaan tercungap-cungap. Memang kelakar rasanya, kali terakhir aku buat benda 'last minute' macam ini waktu aku student dulu.
Bob, bila dah sampai, terus buat kerja menangkap gambar orang-orang JB melaungkan 'Merdeka' berkali-kali. Malam tu, nak kata tak banyak orang tak boleh gak, banyak orangnya. Aku biarkan sahaja Bob membuat kerjanya sambil aku memikirkan pula apa yang patut aku buat. (Aku patut berterus-terang dalam hal ini, aku tak fikir apa pun, aku lepak jer) Mata aku meliar tengok gelagat orang ramai, nyanyian lagu-lagu patriotik serta letupan bunga api di bahagian Stulang (sebab jauh, tak nampak apa sangat).

Tengah aku layan benda-benda yang boleh dimasukkan dalam konteks sosiologi tu, aku dikejutkan dengan dentuman dan cahaya bunga api yang dilancarkan di Danga Bay. Oleh kerana kedudukan Danga Bay yang berhampiran dengan laut, bunga api itu dilancarkan rendah dengan letupan itu berlaku di atas permukaan laut. Bagi orang-orang yang berada di Danga Bay ketika (termasuk aku), kitaorang bagai terpegun dengan cahayanya yang begitu terang. Satu demi satu keluar dan kami semua menyaksikan pelbagai corak berbeza. Ada yang keluar satu meletup besar. Ada juga keluar yang kecik banyak-banyak sekali. Warna-warna yang keluar pun pelbagai. Oleh kerana kedudukan letupan itu dekat, fikir aku kurang dari 500 meter, cahaya-cahaya yang keluar dari bunga api itu bagai melimpah atas kepala. Memang seronok. Aku betul-betul seronok.

Dalam tengah sibuk menonton pertunjukan bunga api itu, Bob ternampak satu shot yang amat menarik, seorang bapa bersama enam orang anak kecilnya sedang berada di atas sebuah tong besar sambil mengibarkan bendera 'jalur gemilang'. Kitaorang pun pegi ke pakcik tu dan minta dia posing. Aku bagai melihat tugu negara pulak dengan aksi pakcik itu (cuma aku tak nampak perajurit berguguran larrr, yang kibar bendera tu ada) Mereka memang sporting. Daripada temuramah ringkas yang aku jalankan, pakcik tu memang tiap-tiap tahun bawa anaknya sambut merdeka. Dia beritahu, masa dulu, bapa dia akan selalu bawa di sambut, sekarang giliran dia bawak anak-anak dia. Bangga betul aku dengan masyarakat Malaysia kita ini (ikhlas, aku ini patriotik juga) Bob menangkap pelbagai gambar yang menarik dan aku boleh katakan, gambar tu adalah antara hasil kerjanya yang terbaik kerana keluarga pakcik itu membelakangkan letupan bunga api yang bergemerlapan.

Setelah selesai pertunjukan api, Bob pun menumpukan kerjanya kepada tugas yang sepatutnya aku lakukan, interview orang ramai dan tanya mereka pasal merdeka. Macam-macam jawapan aku dapat tapi bunyinya sama sahaja. Janji aku dah buat kerja aku. Seterusnya, aku dan Bob bercadang untuk lepak lebih lama di Danga Bay untuk mengintai sama ada berlaku atau tidak maksiat di kalangan remaja di hari yang mulia ini. Malangnya, rancangan itu terpaksa dibatalkan kerana KL sudah panggil suruh hantar gambar.

Sebagaimana kitaorang berkejar untuk tiba di tapak sambutan, sebegitulah samanya kita orang hendak balik ke kereta. Bezanya kali ini kitaorang tak berlari, kitaorang 'berlumba jalan kaki (ala.. macam dalam sukan olimpik dan sukan sea tu) Berdekah-dekah aku dan bob ketawa sepanjang perjalanan itu. Bila dah sampai ke kereta, aku terus pecut balik ofis setelah berjaya mengelak dari satu jam yang begitu teruk menuju ke arah Tampoi. Bob menjadi serius setibanya di ofis, almaklum KL telefon berkali-kali, kalau aku pun tension juga jadinya. Aku lepak jer sebab aku akan buat 'story' keesokan harinya.

Aku tengok diri aku. Seluar dan kasut aku habis berlumpur. Aku tersenyum. Dibandingkan kotoran dengan keseronokan yang aku alami, aku akan tetap memilih untuk melakukan perkara yang sama. Bunga api, majlis patriotik, keluarga yang suka outing serta gelagat anak muda, kesemuanya membuka mata aku untuk melihat apa yang dikatakan sebagai sambutan bagi kemerdekaan negara. Kita sememangnya perlu menyambutnya bagi mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang kita mungkin terlupa. Dalam cerita aku, sambutan kemerdekaan ini membuka aku kepada keseronokan pada waktu kecil. Perasaan bahagia yang aku hampir-hampir lupa rasanya.