Assalamualaikum,
Hari Raya menjelma kembali. Semua warga kota yang mempunyai kampung halaman akan kembali pulang berpusu-pusu. Bagi warga kota yang mana bandaraya itu merupakan kampung mereka, ketenangan yang bakal dialami akan dinikmati sepenuhnya. Aku masih ada beberapa hari lagi sebelum aku kembali pulang ke kampung aku. Rasanya, semakin dewasa, semakin kurang rasanya kemeriahan Aidilfitri ini. Kemungkinan Hari Raya adalah perayaan untuk kanak-kanak. Mereka adalah golongan yang bergembira sekali di waktu itu. Dapat duit raya, lepas tu dapat 'pau' orang yang tidak dikenali untuk duit raya. Seterusnya jalan sekeliling kampung untuk pau lagi orang. Muka memang tebal gila tapi mungkin ini yang diperlukan bila mereka menjadi sales officer atau eksekutif pemasaran di masa hadapan. Pada perayaan ini juga, sanak saudara akan bertemu. Bila rumah tu dah penuh, meriah pula rasanya, nama pun budak-budak, dengan siapa-siapa pun berkawan, bukannya macam orang dewasa, dah ada terlalu banyak benda untuk difikirkan. Aku ada banyak juga kenangan di waktu raya, tapi benda yang paling aku rindu ialah menonton sarkis kat tv di pagi raya. Zaman sekarang mana ada lagi dah semua tu. Kalau buka jerr mesti ada rancangan artis-artis tengah nyanyi lagu-lagu raya, drama swasta dan filem-filem tempatan yang baru keluar wayang bulan lepas. Bagi kaum ibu, mereka akan tidak putus-putus memasak, nak bagi anak-anak mereka sihat gamaknya. Budak-budak bujang akan melepak ngan kawan-kawan mereka yang dah lama tak jumpa. Banyak perkara untuk disembangkan sebab dah terlalu lama tidak berjumpa. Aku rasa itu kot apa aku akan buat di hari raya ini. Cuba cari balik kawan-kawan. Saja nak sembang dengan semua balik.
Aku tak faham sangat konsep minta maaf di waktu hari raya ini. Aku dah ada banyak dosa sangat kat dunia ini dan aku tak fikir semua dosa aku tu akan diampun di hari ini. Bagaimanapun, kalau semua orang nak buat, aku pun join sekali. Memeriahkan lagi suasana di bulan mulia ini. Aku juga teringin nak bagi nak duit kat ahli keluarga aku. Saja nak bagi mereka merasa hasil penat lelah aku kerja kat tempat orang selama ini. Hidup berjauhan dari kampung halaman adalah sesuatu yang sukar untuk aku nak katakan. Semuanya perlu dilakukan sendiri. Aku mengakui yang aku bukan jenis yang rapat dengan siapa-siapa pun. Tapi aku juga mengakui yang aku tak boleh hidup seorang diri di dunia ini. Jadi bagi sesiapa yang mengenali aku terutamanya ahli keluarga dan kawan-kawan aku dari waktu di wad bersalin hospital lumut, rumah di taman serdang, tadika islam masjid sitiawan, tadika kemas masjid sitiawan, padang permainan taman serdang, Surau Taman Serdang, Sekolah Kebangsaan Seri Manjung, Sekolah Menengah Anderson Ipoh, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Anglo Chinese School (ACS) Sitiawan, Universiti Teknologi Mara, Taufikhari Advertising, Jasos Advertising, Restoran A&W Sunway, COBRA dan terbaru sekali Utusan Melayu (M) Berhad....... Aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin.
Wassalamualaikum