Friday, August 29, 2008

bila terbang




PemERiksaAn rEAliti; bilik macam taufan, kereta pun macam taufan, poket kemarau, baju seluar masih tak berubah tapi sekurang-kurangnya aku berjaya jumpa filem arahan Wai Ka Fai ''Yi Ge Zi Tou De Dan Sheng'' punya DVD selepas 10 tahun mencari..... wohoooooo!!!!!!! dan aku jumpanya di Sitiawan.

Dulu, pada suatu ketika, aku pernah diberikan kesempatan untuk menaiki kapal terbang. Dalam perjalanan pergi, aku tidak dapat duduk di sebelah tingkap. Geram dan Kecewa rasanya. Kerana itu, bila tiba waktu pulang, aku tekad untuk mendapat peluang tersebut... dan aku berjaya. Aku pun duduk, merenung ke bumi tanpa henti. Aku tekad untuk tidak lepaskan pandangan. Aku mahu rasa bagaimana berpijak di bumi dan kemudiannya melayang di awangan. Aku biar kaki aku menjalar ke dasar dan kemudian hilang tapak berpijak itu. Bagai nak gila dibuatnya.

Memang gelisah dalam tempoh itu. Jasad ini gayat dan aku takut jika tiba-tiba jatuh. Kemungkinan buruk terlalu banyak dan aku tidak mahu bayangkannya. Aku pun memejam mata dan mengalih pandangan pada kabin kapal terbang. Aku tipu diri untuk berani. Aku pejamkan realiti supaya rasa yang sementara ini lambat-laun akan berganti. Bukan kerana takut sebenarnya, namun hantukan kesedaran itu memang mengejutkan. Bayangkan kalau kapal terbang itu takde dinding, tipularrr kalau ada orang yang masih nyenyak tidur berselimut.

Kembali kepada kehidupan terkini, aku baru sahaja selesai kerja dan masih belum mandi lagi. Rokok gudang garam masih bertimbun dan aku menghisapnya sebatang demi sebatang dengan berlatar belakangkan bilik yang serabut pecah macam haram.

Pemeriksaan jiwa ini mendapati ia antara resah atau kebas. Masih lagi di paras normal untuk bergelak ketawa namun tidak cukup tajam untuk menghiris sebarang kebenaran. Bunyi runut yang mungkin boleh memberi suasana adalah 'whispering pine' daripada 'the band' serta 'a song for you' daripada 'ray charles'. Warna cahaya masih lagi kuning terang namun sesekali ada juga 'backlight' serta mainan bayang. Tiupan angin agak sepoi-sepoi bahasa kerana ribut yang perlahan tiba telah pun meninggalkan segala sisa.

Bila mengenangkan kepahitan, jiwa ini menjadi penat, kerana perlu mengheret tubuh dari satu tempat ke tempat lain. Namun kerja aku adalah untuk memberitahu apa yang aku dengar dan lihat. Namun laman sawang ini bukannya tempat kerja, kerana itu, aku memberitahu apa yang aku rasa. dan untuk memberitahu apa yang aku rasa, adalah membiarkan sahaja jari aku menaip dan terus menaip.

-selamat malam dunia, semoga aman bahagia

Wednesday, August 27, 2008

sesekali berbual

Dan seterusnya, jalan ini bersambung. Aku sempat juga mengambil cuti. pulang ke sitiawan, jumpa balik rakan-rakan, serta tak lupa singgah ke subang dan shah alam, juga jumpa dengan rakan-rakan. Ia mungkin dipanggil rakan namun aku ibaratkan mereka saudara-mara ku sendiri, sebab aku rapat dengan mereka lebih dari sepupu aku sendiri.

Selepas ini, aku akan menghadap Johor Bahru, menemui pejabat serta kerjanya yang tak pernah habis. Aku cuba juga untuk gembira di mana aku berada. atau sebenarnya aku dah tak ambik peduli. Entah, apa yang penting, aku buat kerja aku... walau selewat mana aku tiba. Di kala kebosanan, pegi main badminton atau bola, perut ini dah mula boroi oleh kerana kemalasan yang amat sangat.

entah mengapa, aku mendapati tulisan aku semakin kaku. Ia bukan seperti aku remaja dahulu, yang mana cukup berkobar-kobar lagi penuh dengan cita-cita. Agak menyedihkan kerana aku adalah penulis yang berorientasikan fiksyen. Aku suka melangkah ke bahagian yang orang tidak berfikir atau tidak mahu berfikir. Aku meletakkan rekaan di atas kenyataan. Sekarang ini mendatarnya sahaja, mungkin dah sampai tahap pegun sifar.

Sudahlarr, dalam kerja aku tak boleh buat rekaan semata-mata, berkenaan tiada kena mengena antara hidup atau mati, kalau boleh, memang hari-hari aku buat kerja bawak pokok. Teorinya, disebabkan masalah kekakuan ini, aku mendapati tidur aku sudah meleret sampai ke tahap 12 jam satu hari. Sebelum ini, mungkin aku dapat lepaskan fiksyen aku sesuka hati, tetapi sekarang, ia terperangkap dalam aku punya minda separa sedar dan mendorong kepada mimpi mengarut yang tak nak habis.

Pahitnya, aku adalah tergolong antara manusia yang tidak mahu keluar dari mimpi. Aku jerut dunia itu, yang mana tidur berterusan macam nak mati sebab aku kadang-kadang seperti tidak mahu mengadap realiti. Aku mahu lihat alam terbentang luas dengan keberangkalian yang aku mahu, bukannya dinding-dinding tinggi yang mengepung dan menelangkupkan insan ini!

Kata-kata aku itu ibarat kanak-kanak kecil bukan. Cuma bezanya, kanak-kanak kecil belum terhantuk dengan realiti dan sucinya, mereka langsung tidak bersalah. Jerit aku sebenarnya adalah kerana kecewaan. dan sama seperti menempuh hari lain, aku mahu berubah menjadi lebih baik serta menemui jalan yang lurus.