Sunday, March 08, 2009

bicara lampu kalimantang

Satu perkara tentang sendiri adalah semuanya sentiasa terkawal. Katakan soal rajin, ia terkawal, soal malas, ia juga terkawal, tentang soal bodoh pun, ia tetap terangkum dalam terkawal. Tetapi bila jumlah insan itu melebihi satu seperti dua atau tiga atau infiniti, adakah situasinya masih terkawal? Ruang lingkup itu mengembang, bukan? Kebarangkalian yang terhasil boleh memilih pelbagai jalur kerana pendapat-pendapat yang berbeza.

Kelebihan sendiri adalah keputusannya sentiasa mutlak. Masalah bila terlalu selalu sendiri, adakah keputusan itu benar-benar mutlak? Luar dari lingkup diri ini dapat dirasakan arus-arus yang berbeza menolak dan menarik. Sarat di dalam kejar mengejar ini adalah keindahan disamping kekusutannya. Namun, menjadi sebahagian daripada sesuatu, bukankah lebih bermakna dari duduk di satu sudut keseorangan. Malah untuk bilangan dua sahaja, sudah cukup untuk membina satu dunia yang cukup besar. Ia memang tampak tidak terkawal, ia adalah pengembaraan.

Thursday, March 05, 2009

Mod Min (bahagian dua)

Amin tiada ruang untuk berundur. Biarpun, seinci demi seinci dia mengesot kebelakang, dia kemudiannnya akan hanya mencium muka bumi lapan tingkat bawah. Mata merah masih merenung tembus ke dalam dirinya.

''Kenapa engkau masih tidak mahu melakukannya? engkau melengahkannya,'' lembaga itu menyoal.

''Aku masih tidak mempunyai jawapan,''

''Apa yang engkau perlu lakukan adalah menghampirinya, sebagaimana aku menghampiri engkau,''

''Tapi engkau bukan jawapan''

''Aku tahu,''

Si mata merah kini terlalu hampir. Deru nafasnya telah menyentuh Amin. Tiada ruang lagi untuk ke depan dan Amin nekad. Dia memejamkan mata lalu mendapangkan tangannya. Tubuhnya yang lemah itu jatuh terkulai. Sebagaimana daun yang gugur dari pohon, Amin melayang ke bawah. Angin yang merintangi membuat Amin terasa bebas. Mungkin ini perasaan burung yang dapat bebas dari sangkar. Namun itu hanya untuk seketika kerana tubuh itu tidak bersayap dan hentaman ke bumi mengakhirinya.

Mata Amin terbuka dan dia bingkas bangun penuh terkejut. Dia merasai tapak permukaan dan meramasnya 'ini bukan tanah, ini katil'. Amin telah kembali ke bilik tidurnya. Dia tidak tahu bagaimana ia terjadi atau apa yang sedang terjadi namun apa yang dia tahu, kepada kehidupan yang sedia kosong, dia telah kembali.

Tiada penjelasan juga dapat diberikan kenapa dia lengkap berpakaian tidur, cuma ingatan ngeri itu belum dapat dilupakan, dua biji mata merah yang menghantui. Kedengaran di luar bunyi motosikal berderu dan suratkhabar dicampakkan di hadapan rumahnya. Amin bangun dari katil dan keluar untuk melihat. Langit gelap beransur-ansur menjadi terang. Indah fajar itu bagaimanapun, tidak dapat mencuri tumpuannya.

Amin mendapatkan suratkhar itu untuk mendapati sesuatu yang mengacau fikirannya. Berita utama itu bukan mengenainya, ia berkisar dari pertelagahan politik antara parti pembangkang dan parti pemerintah. Kisah-kisah retorik dan idealisme perebutan kuasa yang kian memeningkan. namun bukan itu soalnya dalam benak fikirannya. Persoalan yang menghantuinya ialah kenapa tajuk utama dari ketua pembangkang kepada perdana menteri itu bertulis 'AKU MASIH BELUM MELEPASKAN ENGKAU'.

Secawan kopi dituangkan dari jag. Amin duduk termenung di meja makan rumahnya. Gangguan yang muncul kian lama kian teruk. Dia tidak dapat membezakan antara realiti dan alam khayalan. Setelah diperiksa pada tarikh, memang satu hari telah berlalu tapi bagaimana untuk menjelaskan yang dia kini berada di rumahnya. 'aku tidak dapat bertangguh lagi,' kata Amin dalam hati dengan penuh sugul sambil merenung kotak bijiran jagung di hadapannya.

Laluan jalan raya menuju ke pejabat telah menjadi begitu sesak. Kereta yang dipandu Amin menjadi salah satu yang tersangkut dalam deretan berbelas-belas kilometer. Dia cuba merenung jauh ke hadapannya. Dilihatnya, orang ramai yang jumlahnya beratus-ratus orang berarak merentasi jalan itu. Mereka menjerit dengan kata-kata maki terhadap kerajaan. Sepanduk-sepanduk dijulang malah ada juga yang juga membawa jamung api di waktu siang tengah hari.
Keadaan menjadi kecoh apabila sebuah trak polis yang lengkap dengan pemancut air tiba diiringi barisan-barisan polis simpanan persekutuan. Sebaik sahaja air dipancut, bergelimpangan orang berlari namun masih ada juga wira-wira yang menunjukan kehebatan menahan tekanan air. Itu pun, cuma untuk sementara kerana mereka kemudian terpelanting jatuh dah jamung di bawa pun terpadam. Amin menghantuk-hantuk kepala ke stereng, tertekan kerana tidak dapat ke pejabatnya lagi.

Sebaik sahaja tiba di pejabat, Amin dengan kelam-kabut menyelongkar mejanya. Timbunan-timbunan fail yang tersusun kemas sebelumnya, bertaburan ke lantai. Semua rakan pejabatnya agak terkejut tapi tiada seorang yang membuka mulut kerana Amin telah memberi 'pandangan'. Setelah berhelai-helai dokumen berterbangan, Amin menjumpai apa yang dicarinya. Ia merupakan sebuah poskad yang mempunyai gambar padang pasir. Tiada apa yang tertulis melainkan alamat rumah Amin dan poskad itu disematkan ke poket hadapan bajunya.

Suasana di kafeteria itu lengang melainkan Amin seorang yang duduk di sebuah meja. Makcik kafeteria tersebut telah berkali-kali mengintai dengan penuh hairan, kenapa pemuda itu duduk berjam-jam dengan hanya kopi o ais secawan. Dia juga pelik kepada apa yang ditenung pemuda itu pada poskad yang dipegang. Namun makcik itu kembali membuat bodoh dan mencuci periuk nasi yang tadi dipegangnya. Anak muda sekarang terlalu sensitif tidak mahu diganggu.

Amin tidak dapat bersendirian lama kerana seorang gadis tampil duduk di hadapannya. Gadis yang berambut ikal hitam sedikit keperangan itu terus sahaja duduk tanpa minta dipelawa. Dia mengetuk-ngetuk meja dengan jari, seolah-olah meminta pintu dibuka. Begitupun, muka Amin terlalu toya, lebih teruk dari cuka.

''Saya dengar banyak tentang awak, mahu bercerita?.''

Amin tidak menjawab persoalan itu. Dia hanya memusing-musingkan poskadnya. Perbuatan itu nyata agak menjengkel bagi yang bernama Sarah ini. Mungkin kerana terlalu rimas, dia mengeluarkan getah kecil untuk mengikat rambutnya yang panjang itu.

''Amin, sepanjang enam bulan saya kenal awak dekat sini, saya tidak pernah dengar tentang perkara-perkara tak elok tentang awak, tapi tentang lampu pejabat tidak tertutup semalam dan tiba-tiba hari ini awak selerakkan pejabat dan dengan awak termenung seorang diri dekat sini sekarang ini. Saya sebolehnya tidak mahu masuk campur juga tapi kalau bukan sebab Encik Farouk yang suruh,'' kata Sarah.

''Saya minta maaf,'' ringkas jawab Amin tanpa matanya merenung Sarah.

''Awak tak perlu minta maaf pada saya tapi kalau awak ada masalah yang awak rasa nak kongsi, saya sedia mendengarnya,'' tanya Sarah dengan penuh pengharapan.

''Pernah tak awak rasa seperti tidak hidup dalam dunia awak sebenarnya,''

Mata Sarah terus laju merenung ke siling. Terlalu berat persoalan yang diberikan itu. Adakah itu pertanyaan-pertanyaan yang sering dikeutarakan lelaki-lelaki yang menghadapi krisis pertengahan usia, namun Amin masih terlalu muda dan bujang untuk masalah itu. Dia masih ingat bagaimana sopannya Amin ketika mula-mula memasuki jabatan mereka bekerja. Dia mengetahui Amin berasal dari utara tetapi tidak banyak latar belakang mengenai lelaki itu yang dia tahu.

Kehidupan di luar pun tidak diketahuinya kerana Amin sentiasa bersendiri. Bagaikan satu misteri, pekerja itu tiba-tiba hadir dan memulakan tugas di Putrajaya. Sarah pernah juga bergosip dengan rakan-rakannya tapi tidak banyak diketahui mengenai Amin yang masuk kerja paling awal dan balik paling lewat.

Untuk mengetahui siapa sebenarnya Amin adalah untuk mengetahui bagaimana rajin dan konsisten lelaki itu bekerja. Itu sahaja dan Amin sentiasa juga mendapat pujian majikannya. Dan kini persoalan seperti ini timbul, adakah Amin sedang menuju masalah keremukan jiwa?

''Awak ada masalah dalam perhubungan ker?''

''Perhubungan???''

''Perhubungan dengan teman wanita ker,''

''Tak, ia bukan soal itu, (Amin tiba-tiba diam dengan rasa kekok yang agak lama) tidak mengapa Sarah, lain kali sahaja kita cerita, sekejap lagi saya masuk pejabat,''

''Okay, kita semua cuma risau tentang engkau,'' jawab Sarah sambil bangun dari kerusinya. Dia membetulkan kot yang dipakai di luar blausnya. Wanita itu memang tampak cantik dan berkeyakinan. Amin cuma memberi jawapan dengan senyuman pahit dan wanita itu pun berlalu pergi. Semakin jauh Sarah pergi namun pandangan tidak dapat dilepaskan.

''Hmmm... memang wanita yang menarik,'' Amin agak tergamam. Di tempat khalayak ramai, lembaga mata merah muncul dan duduk di kerusi yang disinggahi Sarah sebentar tadi. Amin menggengam poskad untuk menahan rasa getar yang kini terlalu pantas. Dia terasa terlalu takut tapi kini dia sudah punya jawapannya.

''Engkau datang lagi... Penjaga Masa,''.

-bersambung