Monday, March 19, 2007

sedih dan gembira

sedih ada melawatku
dia menemaniku
sama-sama termenung
aku tolong menyalakan rokoknya
berdua dalam lewat gelap malam
tanpa lampu limpah
tanpa bunyi runut
tanpa penonton
teringat pula gembira
ada waktunya dia muncu
lnamun aku minta dia pulang
beri aku masa
aku perlu bersama sedih
banyak yang dia dapat beritahu
banyak yang aku perlu beritahu
buat tika ini
maafkan aku gembira
sampai kita ketemu lagi
di lain kali

Tuesday, March 13, 2007

air mata android


Pernah tak anda berjumpa dengan seorang android. Dia mungkin serupa dengan manusia lain. Dia dapat melakukan kerja-kerja yang semua manusia lakukan. Namun begitu, hanya ada satu perkara yang dia tidak ada. Dia tidak mempunyai perasaan.


Aku selalu rasa yang kalau syarikat terkemuka Honda nak buat android yang canggih, diaorang mungkin boleh ambik aku sebagai prototaip. Setiap hari aku melalui ruang hidup dengan tiada perasaan yang dapat memperkatakannya. Muka tanpa perasaan yang seringkali mewakili kenaifan. Aku buat kerja seperti manusia lain juga. Sayangnya, jiwa aku sering hilang entah kemana.


Bagaimanapun, setelah penelitian dilakukan, aku tidak dapat mewakili watak android sepenuhnya. Badan besi dan cip itu rajin, aku sebaliknya pemalas. Lagi satu, aku sebenarnya punya perasaan. Cuma ia seringkali terpendam dan tidak dapat keluar.


Untuk menambahkan kebodohan hidup ini, aku (pada waktu-waktu tertentu) cuba untuk mengenang kembali semua kisah-kisah sedih hidup aku. Hasratnya adalah supaya aku dapat mengalirkan air mata yang seterusnya dapat menunjukkan aku ini manusia biasa. Seringkali perkara tersebut, aku cuba dan aku cuba, namun tidak pernah sekali ia berjaya.


Lebih teruk sebenarnya, dalam menghadapi situasi-situasi yang meremukkan pun aku tak dapat menzahirkan perasaan terpendam aku. Kebiasaannya aku terpaku dengan hatiku berbicara sendiri tidak tentu hala. Pernah satu masa dahulu, dengan hanya tamparan singgah di muka aku baru perasaan itu terbuka. Anehnya, aku pun tak suka keadaan itu kerana bila perasaan itu terbuka, ia agak sukar untuk ditutup kembali.


Lewat kebelakangan ini aku kembali dalam dunia kesedihan (jelas sekali ia menyatakan kenapa aku menulis dalam blog ini). Kesedihan aku tak dapat dibandingkan dengan penderitaan orang lain yang jauh lebih dasyhat. Aku tak nak ceritakan di sini tapi aku tahu ada lebih ramai orang di luar sana yang mengalami lebih sengsara. Cuma apa aku nak perkatakan adalah kesedihan yang aku alami sekarang ini adalah apa yang aku rasa dan apa yang aku lalui. Orang lain mungkin dapat mendengar dengan khusyuk kisah aku namun mereka mungkin tak dapat memahaminya kerana ia adalah apa yang aku lalui dalam hidup.



*nota kaki = 1) aku tidak dapat melahirkan air mata ketika kakak ketiga aku meninggal dunia, namun begitu, sehingga kini aku masih termimpikannya dalam tidurku, yang mana, dalam mimpi itu aku menyangka yang dia masih ada disamping aku dan keluarga aku.


Sunday, March 11, 2007

ngelat

Jangan beritahu orang, aku sebenarnya tengah mengelat dari kerja. Aku sepatutnya mendapatkan maklumat mengenai kematian bapa seorang YB di sini tapi entah mengapa aku sengal sangat, perkara macam tu pun aku tak dapat.

Sejak kebelakangan ini aku terasa macam berada dalam persimpangan karier aku. Benda ni memang aku tak pernah beritahu sesiapa. Mungkin ia disebabkan aku kehilangan inspirasi atau motivasi aku yang mundur.

Aku tidak tahu apa alasan yang patut diberikan kerana alasan tetap alasan. Orang tidak mahu tanya kenapa kau datang lewat atau kenapa kau tidak siapkan kerja yang diberikan. Mereka mahu melihat hasil. Sebarang alasan yang diberikan hanya bukti kelemahan.

Jadi inilah aku, dengan sebuah snow cap hijau menutup kepala aku yang botak, mengadap komputer ofis pada pukul 4.30 petang hari Ahad dan meluahkan segala permasalahan yang memeningkan kepala otak aku.

Hendak kata aku tak cukup rehat, cuti aku boleh dikatakan banyak. Sayangnya, cuti itu adalah cuti dengan aku terus terperuk dalam rumah. Hampir majoriti masa dihabiskan pada playstation aku beli tahun lalu. Sesekali aku membelek buku-buku di rak yang aku baru sahaja susun namun seleranya nak membacanya tidak ada.

APa nak jadi dengan aku??????????? ARGHHHHHHhhHHHhhhHHHhhhHHH!!!!!!!!!!!! kepada sesiapa yang tersesat dalam blog aku ni, minta maaf, tidak banyak pengetahuan yang dikongsi bersama, hanya masalah kebosanan hidup sahaja dimasukkan ke dalam.

Buat masa ini, setiap kali aku pulang ke rumah, aku biasanya akan memainkan cd album terbaru Yusuf Islam. A.K.A Cat Steven dalam kereta untuk menenangkan jiwa aku. Berhasil namun tidak lebih untuk sementara. Aku suka bait-bait liriknya. Dia menyentuh hal-hal hidup yang semua kita inginkan.

Ohhh... terlalu lama aku meninggal dunia blog ini sehingga aku lupa untuk mengucapkan selamat datang 2007. Sememangnya tahun terbaik untuk memulakan kembali projek-projek yang sudah berhabuk berdebu aku tinggalkan sebelum ini.

Aku ada terfikir untuk menulis sesuatu mengenai kehidupan di bandar raya metropolitan. Aku bakal namakannya sebagai 'KL Jam'. Kisah hidup anak muda di kota raya. Dalam melalui kehidupan yang penuh dengan kesombongan dan dara muda yang dahagakan kehidupan. Aku tidak melalui semua itu tapi aku akan cuba imaginasikannya.

Kemungkinan mengenai bagaimana kau sesuaikan kehidupan selepas melalui alam pendidikan. Masa untuk melihat dunia sebenar. Realiti kehidupan bekerja yang menuntut kau memberi untuk memperolehi. Sesak rasanya untuk melalui semua itu. Namun dalam waktu tertentu, watak-watak dalam cerita ini akan berhenti sebentar untuk meluahkan perasaan di studio jamming. Sebab itu aku namakannya 'KL Jam'. Soundtrack dalam citer ni mesti best punyo. Rancak sesuai dengan jiwa muda.

----draf awal citer-----