Tuesday, March 13, 2007

air mata android


Pernah tak anda berjumpa dengan seorang android. Dia mungkin serupa dengan manusia lain. Dia dapat melakukan kerja-kerja yang semua manusia lakukan. Namun begitu, hanya ada satu perkara yang dia tidak ada. Dia tidak mempunyai perasaan.


Aku selalu rasa yang kalau syarikat terkemuka Honda nak buat android yang canggih, diaorang mungkin boleh ambik aku sebagai prototaip. Setiap hari aku melalui ruang hidup dengan tiada perasaan yang dapat memperkatakannya. Muka tanpa perasaan yang seringkali mewakili kenaifan. Aku buat kerja seperti manusia lain juga. Sayangnya, jiwa aku sering hilang entah kemana.


Bagaimanapun, setelah penelitian dilakukan, aku tidak dapat mewakili watak android sepenuhnya. Badan besi dan cip itu rajin, aku sebaliknya pemalas. Lagi satu, aku sebenarnya punya perasaan. Cuma ia seringkali terpendam dan tidak dapat keluar.


Untuk menambahkan kebodohan hidup ini, aku (pada waktu-waktu tertentu) cuba untuk mengenang kembali semua kisah-kisah sedih hidup aku. Hasratnya adalah supaya aku dapat mengalirkan air mata yang seterusnya dapat menunjukkan aku ini manusia biasa. Seringkali perkara tersebut, aku cuba dan aku cuba, namun tidak pernah sekali ia berjaya.


Lebih teruk sebenarnya, dalam menghadapi situasi-situasi yang meremukkan pun aku tak dapat menzahirkan perasaan terpendam aku. Kebiasaannya aku terpaku dengan hatiku berbicara sendiri tidak tentu hala. Pernah satu masa dahulu, dengan hanya tamparan singgah di muka aku baru perasaan itu terbuka. Anehnya, aku pun tak suka keadaan itu kerana bila perasaan itu terbuka, ia agak sukar untuk ditutup kembali.


Lewat kebelakangan ini aku kembali dalam dunia kesedihan (jelas sekali ia menyatakan kenapa aku menulis dalam blog ini). Kesedihan aku tak dapat dibandingkan dengan penderitaan orang lain yang jauh lebih dasyhat. Aku tak nak ceritakan di sini tapi aku tahu ada lebih ramai orang di luar sana yang mengalami lebih sengsara. Cuma apa aku nak perkatakan adalah kesedihan yang aku alami sekarang ini adalah apa yang aku rasa dan apa yang aku lalui. Orang lain mungkin dapat mendengar dengan khusyuk kisah aku namun mereka mungkin tak dapat memahaminya kerana ia adalah apa yang aku lalui dalam hidup.



*nota kaki = 1) aku tidak dapat melahirkan air mata ketika kakak ketiga aku meninggal dunia, namun begitu, sehingga kini aku masih termimpikannya dalam tidurku, yang mana, dalam mimpi itu aku menyangka yang dia masih ada disamping aku dan keluarga aku.