Melangkah lagi. Bagaimana agaknya tempat baru, adakah berbeza warnanya dari sekarang? Orang-orangnya bagaimana pula, adakah penulis ini dialu-alukan atau sebenarnya penulis ini melakukan pembunuhan diri karier (terjemahan terus dari 'carrier suicide'). Mak tadi beritahu, tempat yang bernama Muar itu cuacanya sejuk waktu dia melawat semasa masih kecil. Masihkah suasana begitu? Atau ia sibuk dan panas dengan manusia-manusia yang saling berkejaran.
Pernah beberapa lama dahulu, aku punya sedikit pengalaman menguruskan keadaan daerah. Orang yang paling berkuasa pastinya Pegawai Daerah (DO) tapi yang paling glamournya adalah wakil rakyat. Selepas itu, pastinya ada satu tempat macam warung kopi atau gerai makan yang jadi tumpuan semua orang dari kakitangan kerajaan sampai tauke-tauke kedai dan orang-orang kampung. Masanya berlalu terlalu perlahan tapi ia tidak terlepas dari perkara-perkara pelik. Aku pernah duduk kat satu gerai kat Kota Tinggi, dengan telinga terpasang, macam-macam cerita aku dengar, entah benar atau tidak. Tapi mungkin itu juga jadinya aku, melepak di kedai kopi.
Tapi aku tak nak main dam haji, aku nak main catur, petang-petang harapnya boleh main bola padang. Tiada lagi kesesakan jalan raya. Tiada lagi maki hamun tentang manusia-manusia kota yang hidup terlalu padat dan nilai nyawa terlalu tinggi. Tapi bagaimana dengan waktu malam, aku sudahlah duduk seorang diri. Dapat dirasakan tempoh hidup seterus ini adalah yang paling sunyi hinggalah.. aku pun tidak tahu. Ironinya, aku ada baca cerpen Pak Sako tentang ada seseorang yang rasa hidupnya terlalu penat akibat kepesatan kota raya, mungkin benar katanya, ketenangan adalah kembali kepada kejujuran yang hanya ada di kampung.
Beban yang dibawa ini terasa terlalu berat, kalau hendak diikutkan, aku masih terkial-kial mencari arah tujuan sebenar. Belum hilang lagi penat, terpaksa berkelana ke tempat baru. berjumpa dengan wajah-wajah baru, menyelesaikan masalah-masalah baru. Bagaikan seorang pengembara yang masih belum jumpa lagi tanda henti, aku akan melangkah hingga aku dapat katakan, sudah cukup waktunya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
jgn banyak pikir. teruskan saja perjalanan itu
Post a Comment