Aku ada masalah untuk hidup bermasyarakat. Aku juga punya masalah untuk hidup sendiri. Kebanyakan waktu, aku lapar tapi aku tak nak makan. Aku cepat letih, bosan, jemu dan kesudahannya berada tanpa arah tuju. Ingin terasa untuk menjadi seorang yang mengambil berat, pendengar yang baik dan teman yang sempurna. Sebentar kemudian, rasa itu hancur sendiri, mungkin kerana kebodohan dan tidak terlepas, takdir yang tidak membenarkan. Mudah bukan.
Entah bila agaknya aku dapat kembali lepak dan berbual bersahaja. Gelas yang sama walaupun berjam, duduk untuk mendengar kisah, belajar dan mengenali. Macam berabad rasanya aku telah kaku tanpa langsung semangat untuk mengembara. Aku fikir aku cukup pandai untuk mengetahui yang aku ini cukup bodoh. Waktu yang gelap ini membuatkan aku rindu pada ayah. Apa agak nasihatnya?
Sejujurnya, perbualan kami dahulu tidak banyak berkisar perkara peribadi. Tidak wujud situasi seumpama rakan, namun cukup dengan aku sayang dia dan dia sayang aku. Sesekali aku cuba gak membuat lawak dan dia tersenyum. Banyak perkara sebenarnya dia pernah ajar; belajar bersungguh-sungguh, berjimat duit dan tidak tinggalkan solat. Dia tidak perlu cakap, dia buat. Hampir semua yang ditunjukkannya itu menjadi nilai begitu berharga, silapnya, aku yang terlalu jahanam.
Pernah suatu waktu, dalam bulan Ramadan, aku bermimpikannya, aneh bukan, bagaimana dalam tidur, kita terlupa sebentar yang mereka telah meninggal dunia. Aku mengambil peluang sepenuhnya untuk memeluknya erat. Aku tidak mahu melepaskannya. Keluarga aku tidak membesarkan anak-anaknya menjadi manja, kami semua tidak pandai meminta tapi ibubapa kami tahu untuk memberikannya dan kami sentiasa menjaga hati mereka.
Hubungan simbiotik seperti itu yang mungkin aku perlukan. Namun aku sudah menjadi terlalu jahanam untuk sesiapapun menghargai, tidak cukup sempurna untuk dikongsi bersama, takdir seterusnya dipersalahkan dan berterusan kisah senja yang tiada terbenam.
Adalah dimaklumkan, kisah ini belum jumpa penamatnya, setiap detik adalah terlalu mengecewakan, biarpun untuk kegembiraan yang sebentar. Aku dapat senyum sebagaimana orang lain senyum. Cuma aku tidak pasti, adakah benar aku maksudkannya... dan satu lagi perkara aku ingin bertanya, bagaimana aku boleh berada di sini?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sahabat ...
Jgan mudah mengalah! Aku kenal engkau biarpun tidak sedalam ko mengenali diri sendiri.
Belajarlah menerima segalanya dengan lebih ikhlas dan redha.
Buka pintu hati disitu terbentangnya jalan
Aku
Post a Comment