Di sebuah kedai buku. Di situ aku berdiri di hadapannya. Penat lelahku berkejar ke hulu ke hilir. Berjumpa orang di sini di sana. Semuanya menoktahkan aku memiliki sebuah kedai buku akhirnya. Aku bukan lahir menjadi orang kaya. Aku juga bukan orang yang bijaksana. Apa aku ialah seorang yang berusaha tanpa putus asa. Membuka jalan menunggu peluang. Dari situ, aku tetapkan tekad, aku mesti punya kedai buku.
Cerita aku bukan mudah. Aku tak tahu apa pun tentang berniaga. Pengalaman berniaga yang aku ada ialah menjual pen dan cokelat kepada budak mengaji quran masa aku di darjah tiga. Selain itu menjual maggi di kolej yang akhirnya keuntungan itu dihabiskan untuk jamming. Tapi belum pernah lagi aku menguruskan pusingan keuntungan dan bagaimana menanggung kerugian.
Bila bercakap mengenai industri buku. Apa sangat yang aku tahu pada mulanya. Selain masyarakat malaysia malas membaca. Parah juga aku dibuatnya. Tambah lagi di zaman internet ini apa lagi mereka mahu cari. Tapi dalam semua itu aku ada apa yang mereka tidak ada. Aku ada peluang membuka mata mereka agar tidak menoleh ke tempat lain. Buku Bahasa Melayu.
Bila aku bercakap mengenai ini, aku bukan maksud buku dari malaysia sahaja namun buku dari indonesia sebenarnya. Keunikkan kedai buku aku ialah menyelamatkan bahasa dari kepupusan. Satu-satu caranya ialah menimbulkan nilai eksotik pada bahasa. Mengaitkan masa lampau pada masa kini. Memberitahu mereka semua, bahasa adalah apa yang kita ada.
Dunia berputar. Persaingan yang terlalu kuat siapa mampu tahan. Syarikat kedai buku luar negara datang ke sini menjual ilmu mereka. Mereka membuka gedung yang terlalu besar yang tiada tandingan. Mereka menawarkan pelbagai pilihan. Kenyataan perlu dihadapi, ilmu yang ingin dibekalkan ada di tangan mereka. Bagi kedai buku konvensional pula banyak juga diceburi oleh kaum india dan kaum cina. Mereka bukan pemain besar namun mereka boleh hidup berdasarkan buku rujukan sekolah yang dijual mereka. Kalau hendak cari kedai buku orang melayu, sudah tentu buku cinta dan buku agama menjadi pilihan mereka.
Di waktu itu juga aku mencelah. Aku ada apa yang mereka tidak ada, iaitu kekayaan bahasa bangsa. Pada masa itu, aku pernah mengharapkan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) menggalas tanggungjawab itu. Tapi mereka tidak. Mereka terlalu 'kerajaan', dengan kata lainnya, pemalas untuk tugas itu. Dari situ aku telah muncul memberikan nafas baru kepada nasionalisma.
Ide sudah ada. Tapi bagaimana ia semua terjadi. Sudah tentu ia tidak dapat wujud tanpa jaringan yang aku peroleh sewaktu menjadi wartawan di Utusan Malaysia. Dengan latar belakang itu, aku menghampiri segenap kedai buku dan membongkar cerita mereka. Aku kaji dari internet tentang kewujudan gedung buku antarabangsa. Dengan mendekati para penerbit, aku juga dapat mencipta persahabatan. Aku juga selosori kembali apa itu perniagaan bermula dari bagaimana aku dapat membuat keuntungan. Setelah aku mengutip semuanya. Di kedai buku aku sergamkan semuanya.
Tapi apa yang aku paling girang sekali dalam pengembaraan itu ialah apabila aku bersama teman wanitaku menjelajah ke indonesia untuk mencari kembali buku-buku yang kian hilang. Keseronokan itu terjawab dengan kedua akar sama yang telah berpecah, kembali berpadu semula. Seolah-olah aku menjelajah ke dunia baru. Tapi kalau hendak diikutkan itu semua adalah warisan nenek moyang aku jua.
Aku mengajak masyarakat semua untuk membuka mata bersama-samaku. Dalam bahasa kita menjumpai diri kita. Nilai tutur dan ilmu semua itu bercantum menganjak ke satu tahap yang di luar jangkaan mana-mana bangsa. Aku tidak putus asa. Mengajak semua orang membuka mata. Untuk menyedarkan mereka apa yang kita ada pada.
Sejak dari itu kedai aku menjadi tumpuan. Mereka yang muda dan dahagakan erti kehidupan sering menjadikan kedai aku sebagai sumber rujukan. Aku membantu menyalur apa yang mereka dahagakan. Mereka yang tua turut juga datang singgah, teringin menjenguk kembali warisan yang tidak putus mengalir dalam darah keturunan. Adik-adik melihat abang dan kakak bersemangat. Mereka juga turut bersemangat. Apa yang semua orang sangkakan sudah mati, sebenarnya bangkit hidup kembali. Bahasa menjadi lambang bangsa.
Namun dalam semua itu, aku bukannya tertutup. Aku rasional. Aku membuka peluang kepada mereka yang inginkan pembaharuan. Aku melayan dengan baik siapa yang dahagakan ruang untuk meluahkan suara. Mereka-mereka yang ingin didengar perlu mempunyai tempat untuk berhimpun. Di situ aku muncul mengalu-alukan mereka.
Daripada suatu harapan, lahirnya satu kenyataan. Tanpa jalan yang dibuka oleh Allah S.W.T. tak mungkin aku berada sini. Tanpa dorongan dari kekasih yang kucintai, tak mungkin aku dapat merempuh semua halangan mendatang. Pada ibubapaku dan keluarga aku yang tidak pernah berhenti memberi sokongan. Syukur kepada Allah S.W.T atas semua kebesaran yang dilimpahkan. Aku pada mulanya tidak punya apa-apa. Bukannya kaya. Bukannya bijaksana. Hanya seorang yang berusaha tanpa putus asa.