Ketika ditanya kepada lelaki yang pertama sekali sampai di puncak gunung everest, kenapa panjat gunung itu, dijawabnya kerana ia ada di situ. Ketika ditanya kepada seorang pembina pencakar langit, kenapa bina bangunan tinggi-tinggi sedangkan banyak lagi tanah yang ada, dijawabnya kerana ia boleh dibina. Ketika aku ditanya apa yang aku nak buat hidup ini, mahukah kamu mendengar jawapannya.
Berdasarkan surat aku janji yang ditandatangani aku dengan arwah ayah aku, sepatutnya aku menjadi peguam, takpun seorang usahawan agaknya. Aku tidak fikir banyak sangat tentang perkara itu sebab aku masih di sekolah rendah lagi, tapi dokumen itu masih ada lagi hingga sekarang. tapi masa berlalu dan profesion itu bukan dalam tangan aku. Aku tidaklah membesar hancur sangat sebab kad nama pekerjaan aku tersimpan dalam dompet arwah ayah aku. Sedikit sebanyak aku terharu. Tapi ada seorang kawan aku memberitahu, dia berasa gembira dengan kerjanya kerana kerjanya itu adalah hobi. Mutlakkah kata-kata itu?
Dan aku pun cuba mengambil masa untuk berfikir. Dalam bilik yang bersawang, aku (dengan fikiran sempitnya) cuba untuk statik dan memberhentikan masa. Aku perlukan tempoh pegun bagi memastikan kata-kata itu. Tapi aku tersilap, tidak pernah ada waktunya kita tidak bergerak dan masa itu terhenti. Katakanlah, bumi ini satu kenderaan, bukankah ia bergerak dalam orbit untuk mengelilingi matahari. Jadi aku atau kita sebenarnya tidak berhenti. Ruang dan waktu adalah sentiasa bergerak, dan aku berasa cemas kerana agak ketinggalan.
Untuk apa agaknya hidup ini? aku boleh buat orang tertawa tapi aku tahu, tidak semuanya. Arghh.. aku mengelak jawapan kepada persoalan itu. Semakin lama terasa juga diri terkurung dalam tembok atau kubu yang dibina sendiri. Melihat kehidupan orang lain, bagaimana agaknya mereka melaluinya. dan mereka jalani dengan tabah dan riang terpercik pada muka mereka.
Aku rasa agak bosan kebelakangan ini. Dulu masa kat Johor Bahru, aku cuba gak memasak walaupun tidak berbakat. Tapi kat sekarang ini, dapur aku takder dan harta yang aku miliki adalah sebuah jag elektrik. Masak maggi lah jawabnya. Dan begitulah hidup itu dilalui, seperti mee segera yang hanya dicurah air panas semata-mata. Tak mengenyangkan tapi tetap boleh dimakan. Terasa macam sia-sia pun ada.
Katakan, bila aku melangkah masuk ke rumah orang yang hiasannya indah, lengkap dengan falsafah dan citarasanya, aku dapat merasakan betapa berbangganya peribadi tuan punya rumah itu. Kepuasannya dapat dicurahkan dan memang tidak dapat disanggah, rumahnya cantik sekali. Itu apa yang aku fikir dan itu juga yang aku harapkan. Kepuasan untuk meluahkannya.
Serta kebahagian untuk berkongsi. Bersendirian membuat laman yang kosong ini menyempitkan. Cukuplah berada di pejabat ini dan aku hanya mampu bersembang dengan meja, kerusi, dinding serta mesin faks. Berada di gerai tepi jalan sudah cukup menggembirakan bila dapat saling bertukar pandangan. Begitu juga duduk di sebuah pangkin hanya untuk menunggu berbual dengan si dia. Indah sebenarnya bila ada orang di keliling kita.
Jadi untuk apa hidup ini aku isi? aku sebenarnya menulis. Aku membaca dan menulis. Tangan aku terlalu kaku untuk kerja-kerja lain jadi lebih baik aku tetapkan kepada menulis dan menaip sahaja. Memang kerja aku sekarang adalah menulis tapi aku dapat merasakan ada saraf-saraf otak ini yang bergetar mahu mengeluarkan sesuatu yang lain. Aku mahu berfikir dan berperibadi sebagaimana arwah Arenawati dan arwah Pak Samad Ismail yang amat aku kagumi. Ingin menjadi insan yang baik walaupun sinis dengan senyuman untuk semua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment