Ayam berkokok lagi dan lagi. Amin membuka pintu almarinya, tertera adalah beberapa helai baju dan kot bersangkut. Tiada warna lain, yang ada cuma putih dan hitam. Itu sahaja. Amin mengambil helai yang paling kanan dan memakainya. Dia menyisir rambut di hadapan cermin dengan minyak penuh di tapak tangannya. Tie hitam tirus dipakai dan dikemaskannya. Pipinya disapu untuk memeriksa semua jambang licin dicukur. Lalu dia duduk ke katil dan menundukkan kepalanya di bawah seketika. Bagaimana rupanya untuk hari ini, fikir Amin.
Bunyi jam berdetik, sesaat demi sesaat. Ia tidak kedengaran pada telinga Amin namun ia bergerak demi waktu yang tidak berhenti. Amin mengambil beg bimbitnya yang terletak di sebalik almari. Langsir di biliknya itu ditutup dan tidak masuk pun sebarang cahaya. Pintu rumah berbandung yang dimiliki Amin dikunci dan lelaki kurus itu memasuki ke dalam keretanya. Bunyi jam itu masih tidak berhenti berbunyi. Sebagaimana takdir, ia telah ditentukan. Wayar-wayar biru dan merah berselirat pada jantung jam itu. Ia telah ditetapkan untuk detik yang telah dijanjikan. Di dalam kereta, Amin memasukan kunci kereta dalam suisnya. Dia melihat mukanya di dalam cermin belakang kereta. Waktu bila uban-uban itu timbul pada rambutnya. Dia mengambil nafas yang panjang. Sebelum kunci itu diputarkan, hatinya berbisik, 'hari yang baik untuk mati'.
Ia bingit! sebaik sahaja enjin kereta itu dihidupkan, sebuah jam loceng berbunyi di dalam biliknya. Amin agak terkejut dengan bunyi bising itu. Dia terpaksa keluar dari keretanya, membuka kasutnya, membuka kunci pintu rumah, memadamkan kunci loceng yang berdering bising, memakaikan kembali kasutnya, mengunci kembali kunci rumah dan masuk dalam kereta. Amin berasa terlalu leceh. Dan dia masih belum bergerak untuk ke pejabatnya.
Kenapa kereta-kereta di jalan raya ini biadap, adakah mereka juga terkejar-kejar. Takut semata-mata majikan memarahi, gusar anak-anak dikenakan tindakan displin kerana lewat atau bimbang janji yang tidak dipenuhi. Amin meluncur keretanya sederhana laju. Dia mempunyai mesyuarat yang perlu dihadiri dalam pukul 11 pagi. Hadirnya nanti bukan rakan sekerja biasanya, ia akan turut diikuti pengurus-pengurus cawangan dari seluruh daerah. Menunggu di hadapan lampu isyarat yang masih merah, Amin mengenangkan diri si dia. Indahnya adalah sebagaimana cahaya pagi yang menerangi hari. Dan cantiknya berseri lagi seperti matahari yang melapangkan siang. Dan lamunan itu terhenti kerana lampu sudah bertukar hijau. Keretanya terus sambung meluncur.
Bunyi jam itu tetap mengikuti. Seolah-olah ada yang mengekori, cuma Amin sahaja tidak menyedari. Suasana bilik itu bising. Semua yang hadir mempunyai rasa tidak puas hati. Kelemahan pengurusan menjadi topik utama sehingga semua orang saling menuding jari. Amin menyaksikannya dengan mata kuyu. Dia tidak perlu masuk campur. Untuk menyokong rakan di kiri, dia hanya akan dibenci rakan di kanannya. Begitu juga untuk menambah hujah rakan dihadapannya itu, perbuatan sia-sia yang hanya merancak ego lagi lelaki gemuk itu. Kebisingan itu bagaimanapun terhenti setelah suara orang tua itu keluar. Semua mata tertumpu kepada Amin. Amin tidak dapat mengelak lagi. 'Sejujurnya, saya ingin bertanya, di mana kita mahu pergi dari sini?,''.
Amin keluar dari bilik untuk mendapatkan secawan kopi. Ada sebuah tingkap besar di koridor bangunan itu dan Amin mengintai melihat di luarnya. Bunyi riuh di sebuah rumah pra sekolah itu menarik rasa ingin tahunya. Alangkah comel kanak-kanak itu. Saling berlari untuk menentukan siapa yang sampai di rumah dahulu. Dia dapat melihat ada seorang yang tercungap-cungap kerana nafas tidak mencukupi. Tapi kanak-kanak itu tidak keseorangan, ada seseorang yang masih menunggunya. Dan mereka berdua berjalan bersama. Amin melihat ke dalam bilik mesyuarat yang masih sesak. Kita semua akan dewasa, katanya.
Mesyuarat itu tidak mencapai sebarang keputusan. Ia tertangguh sebagaimana keadaan-keadaan dahulu. Amin kembali ke mejanya yang bertimbun dengan fail-fail serta dokumen kerja. Dia membelek satu per satu dan menyusunnya. Jarum jam itu tetap bergerak. Sekali pandang, seolah-olah jam itu mencair. Ia melengkung ke bawah. Amin bangun dari mejanya dan menuju ke bahagian Pusat maklumat. Setelah mengadakan perbincangan dengan kakitangan di sana, Amin kembali ke mejanya dengan membawa fail-fail yang bertimbun tinggi. Dia meletup-letupkan jarinya dengan sekali tekan, kata hatinya, mari mula bekerja.
Amin tetap duduk di mejanya hingga dia menjadi orang terakhir di pejabat. Dia mahu menyelesaikan kerja-kerja yang tertanguh. Seorang pengawal keselamatan masuk ke dalam bangunan dan menyapanya. Amin tersenyum dan memberitahu dia akan lebih lewat dari biasa.
Dan dia pun ditinggalkan kembali keseorangan. Detik demi detik merentasi ruang. Pada waktu sunyi itu, Amin bagaikan dapat mendengar sesuatu. Bunyi itu seperti tidak mahu berhenti. Dia mendongak ke siling, memeriksa di bawah meja tapi masih tidak dapat dijumpa sumber bunyi itu. Seluruh bangunan itu dikelilingnya namun masih tidak berjumpa. Dia akhirnya memanjat ke tingkat bangunan atas dan merenung ke bintang-bintang di langit.
''Engkau adalah janji yang dituntut,'' satu suara memecah suasana. Amin berpaling dan dia tahu apa yang dihadapinya.
''Aku perlukan lagi masa,'' kata Amin.
''Engkau terlalu selesa, Engkau tahu bukan, Engkau perlu melunaskannya,'' suatu lembaga hitam semakin menghampiri Amin. Matanya menjegil merah dan ia melangkah perlahan dan perlahan, semakin hampir.
---bersambung----
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
aku tertekan kat komen ko rina, tak tahu dia pi mana
hmm....tak sabar nak tahu kesinambungannya....prolifik sungguh tulisan encik kamil....
Post a Comment