Tuesday, August 11, 2009

kisah perang



Perghhh, lama benar tak dengar cerita abok. Dia telah mesej teks aku semalam dan bagitau dia keja kat Ayer Tawar. Mengenangkan balik, aku dulu memang rapat ngan Abok masa zaman hostel kat Anderson, Ipoh. Aku pernah bermalam rumah dia kat kuala kangsar dan dia pernah bermalam rumah aku kat Sitiawan. Bersama-sama, kitaorang pegi melepak fair park, tengok wayang, makan mee rebus, dengar lagu Blur, main pakau dan main ping pong. Aku cukup gemor bertarung dengan dia, setiap kali smash, trademark dia adalah mencarut dengan kuat dan aku pun balas juga... dengan mencarut jugak.. agaknya.. entah, aku dah lupa, zaman tu aku innocent sangat.

Balik kepada topik utama, tolak tepi kepada pengakap, persatuan bulan sabit merah, persatuan pelajar Islam dan persatuan pencinta alam, aku pernah terlibat dalam beberapa persatuan haram. Pertubuhan-pertubuhan ini diklasifikasikan haram sebab tak pernah berdaftar dalam ROS namun mungkin disebabkan kitaorang tidak pernah buat ancaman kepada negara, aku masih belum meringkuk dalam penjara sebab ISA lagi.

Antara pertubuhan yang cukup famous aku anggotai adalah Api Gelap, sebuah gerakan pasca modernise golongan karyawan tidak sepenuh masa. Sayangnya, tidak banyak projek yang dapat bergerak daripada pertubuhan yang berasal dari gerakan AdBeat ini. Mengimbas kembali, aku pernah juga menjadi anggota Das Shawkgy, yang mengambil nama daripada buku pengasas komunis, karl marx berjudul 'Das Kapital'. Begitupun, kitaorang tidak pernah angkat senjata dan masuk hutan, sebaliknya menganjurkan perlawanan bola sepak persahabatan yang mana aku bermain untuk tempoh 15 minit.

Semua yang aku sertai itu adalah atas rasa persahabatan serta mendukung rasa kekitaan. Ia adalah suatu bentuk 'klik' dan kitaorang kongsi pengalaman bersama. Namun pengembaraan yang paling menyeronokan sebenarnya adalah di Sekolah Kebangsaan Seri Manjung. Pada mulanya aku malas nak hidup berkelompok ini tetapi apabila menyedari keamanan dunia semakin terancam, aku serta beberapa rakan lain yang suka duduk belakang kelas telah memulakan apa yang dipanggil 'BMW'. Bukan BMW kereta itu, sebaliknya 'Budak Melayu Wawasan'. Ia membuat aku terfikir, aku memang orang Mahathir sejak dari kecil. yelarr dengan tagline 'Wawasan 2020'.

Apakah bentuk ancaman yang dihadapi?? Perit sebenarnya, kesentosaan di sekolah itu terancam kerana kewujudan sebuah organisasi rahsia lagi zalim dikenali sebagai COBRA. Mengambil sama nama dengan penjahat dalam citer kartun G.i. Joe, Cobra telah dibarisi budak-budak yang cukup menggemari keganasan. Aku ingat-ingat lupa saper geng Cobra ini, tidak silap aku adalah Azril dan Ismat Husni di dalamnya.

Semua budak-budak yang menganggotai pertubuhan-pertubuhan rahsia ini adalah pandai-pandai belaka. Namun Cobra, mereka adalah pandai dan kejam. Antara penyeksaan pernah dilakukan mereka adalah eksperimen elektrolisis terhadap cicak dan lipan serta katak. Binatang-binatang itu, tanpa kasihan, telah dicincang, diberikan karan elektrik serta dibakar hidup-hidup semata-mata atas nama sains. Dengan dilengkapi mikroskop kanak-kanak tadika, Cobra merupakan titik permulaan dalam melahirkan 'Mad Saintis' yang akan menghancurkan dunia.

Dan disebabkan itu, BMW telah memulakan rekrutnya untuk menentang kezaliman ini. Kitaorang punya Izam, Amir, Sasmi dan Fazidin.. hmm.. aku dah lupa dia masuk bahagian mana. Tidak boleh dinafikan, kadang-kadang seronok jadi orang jahat. Apa yang bermula daripada berbasikal beramai-ramai pergi ke perpustakaan atau lepak di taman permainan mengorat anak dara bawah umur, (come on lar.. kitaorang pun bawah umur masa tu). pertubuhan yang aku bantu mengasaskan itu, mengorak langkah berubah menjadi sebuah angkatan bersenjata yang sanggup bersumpah berjuang dengan darah dan nyawa.

Konfrontasi telah berlaku dalam tempoh yang panjang. Tidak salah aku, kempen perang itu adalah selama setahun dan melibatkan pelbagai siri pertempuran sama ada terbuka atau tertutup. Dunia pengintipan pun menjadi meriah dengan ada yang menjadi ejen talam dua muka. Bila ada peperangan, pastinya pengeluaran persenjataan ditingkatkan dan itulah apa yang berlaku dalam Sekolah Kebangsaan Seri Manjung sekitar awal tahun 90-an itu.

Senjata asas yang dimiliki oleh setiap anggota pejuang adalah lastik kertas. Itu kira yang paling koman sebab arsenal persenjataan seterusnya turut merangkumi pistol mercun, flame thrower menggunakan ridsect, grenade mercun papan, pelancar roket thunder clap, batu bata, beberapa batang kayu dan senjata-senjata kimia yang lain.

Di dalam kekalutan antara dua buah organisasi yang cukup besar lagi berpengaruh ini, rupa-rupanya telah wujud satu lagi organisasi yang teringin hendak jadi pihak ketiga. Dikenali dengan nama T.S.S.G., pertubuhan ini merupakan singkatan The Sweet Sour Girl. Dibarisi gadis-gadis bawah umur yang konon-kononnya comel itu, TSSG telah beberapa kali mencelah dalam konfrontasi yang wujud. Perlu dinyatakan, pertubuhan TSSG ini tidak punya matlamat melainkan mengumpat budak laki, main-main bedak dan pelbagai aktiviti budak perempuan yang cukup membosankan. Begitupun, dengan kelebihan selaku 'femme fatale' banyak juga hati budak lelaki yang kehancuran. Mungkin yang paling berjaya sekali adalah membuat punggung semua ahli COBRA kepanasan; mereka telah letak minyak cap kapak di kerusi sebelum kelas mula!

Banyak siri pertempuran telah berlaku sepanjang konflik BMW dan COBRA. Selaku pejuang revolusi, kehilangan nyawa adalah risiko yang kita orang semua sudah terima. Biasanya, pertempuran mengambil lokasi-lokasi berkecuali untuk masing-masing organisasi menampilkan kelebihan persenjataan. Letupan demi letupan, Api yang marak membakar serta batu-batu tidak berhenti berterbangan. Pertempuran yang mungkin paling dasyhat mengambil tempat di rumah projek terbengkalai terletak di belakang sekolah.

Berdasarkan cerita mulut rakyat tempatan, tempat itu menempatkan anjing gergasi, keranda terbang serta perkampungan awang kenit. Sekalipun digerunkan dengan cerita tidak logik di zaman sains dan teknologi ini, kami tekad untuk bertempur demi gagasan yang sanggup kami mati perjuangkan. Aku pun sampai bawa bekalan roti dari rumah semata-mata dalam misi menunggu menyerang hendap pihak musuh. Puncak kebanggaan pasti kemenangan tapi dalam semua itu, aku masih dapat ingat betapa merahnya darah mengalir dari dahi ini. Dalam keadaan saling terkepung pada pertempuran, rupa-rupanya ada batu yang terbang singgah terbang singgah di dahi. (aku maafkan ko khairil azwan). Salah aku rasanya tidak sempat untuk belajar ilmu mengelak batu dari pendekar Mustar. Biarpun berlaku situasi-situasi yang memerlukan pengorbanan, perjuangan tulus ikhlas itu tetap diteruskan bagi menghancurkan COBRA durjana.

Anjak hadapan ke tahun 2009, aku rasa macam tidak percaya zaman kanak-kanak aku sudah ada ciri-ciri keganasan. Semua itu kita lakukan demi gelak tawa. Di masa kini, semua ahli-ahli BMW, COBRA, TSSG dan pertubuhan murid-murid berkecuali (MAM) sudah bertaburan merata-rata dan apa yang tinggal adalah kenangan. Entah apa lak budak-budak sekarang main, harap-harap tidak seganas kita orang. Kezaliman di mana-mana pihak boleh melampau sebab antara jenayah perang aku pada ketika itu adalah menembak pistol mercun ke arah seekor anjing yang menyalak. Kesudahannya, aku sembunyi dalam parit sebab tuan dia sudah naik kereta kejar kitaorang macam orang gila. Aku bernasib baik waktu itu namun dalam perang, semua perkara yang tidak terfikir boleh terjadi. Minta jauh. Amin.

No comments: