Buat Cinta bukannya Perang. Aku suka mendengar ayat itu. Ia memberitahu kita supaya tidak mencari gaduh dengan sesiapa. Anehnya dunia ini adalah bila kau mendapati seorang lelaki baik seperti Abraham Lincoln mati dibunuh dalam sebuah teater. Jika kita melihat sejarah, kita juga akan mengetahui yang Mahatma Ghandi juga mati dibunuh seorang India yang ekstrem. Malah, lebih menyedihkan, ketiga-tiga Khalifah Harun al-Rashidin; Umar, Osman dan Ali juga meninggal dunia kerana dibunuh umat Islam sendiri. Daripada semua yang kita lihat tadi, apakah kemungkinan dapat disimpulkan.
Berbuat baik di dunia, balasannya di akhirat? Begitukah kesudahan untuk semua kebaikan yang dilakukan? Aku cuba untuk melihat perkara ini secara positif. Namun disebabkan mood aku yang kurang baik, mungkin aku agak sukar melihatnya dengan jelas. Rasa marah meluap-luap kerana manusia tak henti-henti membuka kemarahan aku. Tidakkah dapat mereka belajar dari sejarah, atau nafsu serakah hati busuk menjadi kompas mereka selama ini.
Hidup seorang diri aku mula belajar untuk memekakkan telinga aku ini. Aku padam apa yang aku tak suka dengar. Aku ambil apa yang aku boleh belajar. Bagaimanapun, mulut manusia tak henti-henti untuk memperkatakan apa yang kita tidak mahu dengar sebenarnya. Mereka kata ia tidak lebih daripada mengusik tapi cuba aku lempang muka dia sekarang ni, ada dia orang kata ia tidak lebih daripada mengusik. Sakit hati sebenarnya mendengar kata-kata umpatan. Kalau orang lain menjadi mangsa kita bengang, inikan diri sendiri. Kenapalah aku tidak boleh memilih kawan-kawan aku?
Namun bagaimana jika api melawan api.... aku sering memikirkan teori itu. Sayangnya, kejadian aku dari Tuhan tidak dengan mulut lepas. Dia bentuk aku menjadi pemendam dengan semuanya disimpan erat sehingga sampai waktu untuk diletupkan. Hari demi hari aku merasakan aku berjalan dengan hati yang cukup sarat. Aku tidak larat memikul semua yang dipendam tapi aku tidak tahu dimana untuk dilepaskan. Aku mohon sebenarnya untuk diri aku menjadi sejuk dan tenang kembali. Aku tak sanggup menjadi pemarah yang tak tentu hala tujunya. Marah biar bersebab, aku fikir. Marah biar kerana pendirian bukan kerana kebodohan. Aku tidak apa untuk diperkatakan lagi. Kata-kata aku bersimpul jadinya. Masalah belum selesai.