Friday, August 24, 2007

belok kanan jumpa terang

Kerja aku makin melambak kebelakangan ini. Cuti pula merupakan ruang masa yang panjang lagi membosankan. Aku mula berasa tubuh aku ini kebas dengan roh makin kekeringan. Dalam banyak waktu, aku mengambil kopi dan menghisap rokok sebatang demi sebatang. Masa tidak mungkin berhenti untuk itu, sebaliknya aku mula ketinggalan. Senang kata, sebagaimana sering mendungnya Johor Bahru, begitulah keadaan aku. Bukan marah. Bukan sedih. Bukan juga gembira. Cuma kau akan melihat sepasang mata kuyu merenung bawah dengan dua tangan tersimpan dalam kocek.

Aku mungkin sebenarnya sudah terlalu biasa dengan kehidupan seperti ini. Masih lagi aku ingat bagaimana ketika di tingkatan satu, aku akan selalu memanjat tingkap untuk duduk di bahagian luar koridor tingkat tiga bangunan asrama. Seorang diri, aku merenung matahari terbenam dengan memikirkan kenapa budak-budak seusia aku begitu kejam. Aku mahu berada dalam kegembiraan bukannya dalam pergelutan. Sejak itu, dunia tidak lagi seperti mana aku pernah sangka dan ia berterusan sehingga kini. Aku tidak simpan dendam tetapi kegirangan bukanlah diri aku sepenuhnya lagi. Banyak bahagian dalam diri ini aku sembunyikan. Sesekali aku bersuara dan mereka tertawakan aku. Tiada dendam, aku sengaja melakukannya supaya aku tahu aku masih wujud.

Bukannya aku hendak mengenepikan rahmat-rahmat yang pernah membelai tubuh kurus ini, namun banyak waktu, aku tertangguh dalam persimpangan. Kompas aku sering bergantung pada nasib. Namun dalam usia dewasa ini, aku bagai merasakan jarum kompas itu berpusing gila ke semua arah. Tiada ketentuan. Aku terlalu takut untuk menghentikan jarum itu kerana nasib aku terletak padanya. Akhirnya aku menutup kompas itu. Oleh kerana ketentuan itu belum tiada, aku memutuskan untuk ingin melihat sejauh mana nasib nyawa ini.

Dengan tidak meletakkan pertaruhan tinggi, aku menyimpan harapan kecil dalam hati dua separa bulat tepat ini. Aku bukannya seorang pejudi yang baik. Sering sahaja aku melihat not-not seringgit aku berterbangan dengan kepaknya. hampeh betul. Tapi dalam banyak waktu, aku mengintai harapan aku itu, girang sebentar rasanya sebelum kembali ke realiti. Bumi bulat ini tidak pernah sunyi daripada kejutan namun ia sentiasa kembali kepada kenangan dan harapan yang membuat aku rasa manusia kembali.

No comments: