Ada sesuatu mengenai sukan yang cukup menarik perhatian aku. Segala dalam sukan adalah jelas. Persaingan dan Pertandingan. Ia adalah penentuan mengenai dua perkara. Ia adalah berkenaan antara menang atau kalah. Jangan cakap mengenai seri sebab ia adalah penangguhan sebelum mata untuk seluruh musim dikira. Jadi aku tidak tahu bagaimana hendak cakap mengenai diri aku. Petang tadi aku kalah tiga perlawanan badminton. Mulanya aku dapat bagi cabaran sampai mata akhir, tapi dua perlawanan seterusnya, memang aku mangsa belasahan. Sakit siot. Siapa tidak mahu menang? Lagi sedih, aku tahu sebab apa aku kalah.
Dalam apa-apa perlawanan pun, ia berbalik kepada dua benda, sejauh mana kekuatan stamina dan tidak kurang penting, sejauh mana kekuatan minda. Jujurnya, aku kekurangan kedua-dua perkara itu. Apa yang aku ada hanya keinginan. Rasa juang sebelum mati mungkin. Aku tidak mahu angkat bendera, aku mahu cabar sehingga aku rasa puas, sekurang-kurangnya aku telah mencapai sesuatu. Aku ada reka satu perumpamaan untuk perkara ini 'Adakah sama seorang Cina yang bekerja keras tanam sayur dengan seorang Cina yang duduk lepak rumah tengok TV saja?'. Ia tidak sama, walaupun aku bukan seorang yang berpengetahuan tinggi tetapi setelah melalui pengalaman yang luas mengenai kekalahan, aku fikir aku tahu apa yang perlu untuk menang.
Aku tahu sesetengah orang memilih sesuatu yang mereka samakan dengan keamanan. Duduk statik dan mengharapkan kebaikan. Bagaimanapun, kehidupan adalah mengenai persaingan dan selagi kita tidak melampaui batas, tidak salah rasanya untuk berjuang. Bukan aku tidak hormat John Lennon, aku rasa dia seorang yang amat berbakat. Namun aku menolak imaginasinya dalam lagu 'Imagine' yang tidak mahu adanya negara, tidak mahu adanya syurga dan tidak mahu adanya neraka. Adakah semua perkara yang Tuhan ciptakan dalam dunia ini adalah untuk sia-sia? Manusia, walau semurni mana pun harapannya, tidak boleh menolak hakikat yang persaingan adalah sebahagian kehidupan.
Manusia moden di banyak rantau dunia memisahkan fahaman antara kapitalisme dengan sosialisme. Kononnya hanya ada dua pilihan iaitu persaingan yang membawa kepada ketamakan (kapitalis) atau tanggungjawab yang membawa kepada kebosanan dalam kehidupan yang statik (sosialis). Bagi aku, adalah kesilapan besar untuk menafikan tuntutan dan kebergantungan dalam kehidupan ini. Sedar tak mereka bahawa untuk hidup, kita semua memang perlu kerja dan bukan hanya disuap sahaja. Selain itu, tidak salah untuk menjadi kaya kalau kita kuat berusaha tetapi jangan lupa tanggungjawab untuk menolong orang yang papa. Sangat jauh berbeza sebenarnya antara orang yang bekerja keras dengan orang yang duduk berserah sahaja. Dari segi rahmatnya, kemenangan itu dalam pelbagai bentuk. Ada yang segera nampak di mata namun ada juga yang ditangguhkan bagi menguji mereka yang tabah. Begitupun, perkara pokoknya, berjuang adalah untuk berserah (Islam itu sendiri bermaksud berserah, iaitu berserah kepada Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pensuruh Allah).
Orang selalu ingat yang kemenangan itu dicipta selama sehari. Itu tanggapan yang silap. Kemenangan hanya datang selepas kerja keras dan penat lelah untuk tempoh masa yang panjang. Sesetengah perkara, untuk tahap yang lebih tinggi, memerlukan tempoh berbulan-bulan dan bertahun-bertahun. Apa aku ingin cakap adalah ia lebih lengkap kalau rutin itu tidak pernah terpisah dari kehidupan seharian. Masa dalam pengakap dahulu, aku diajar untuk sentiasa sedia. Rasanya itu apa yang diperlukan untuk berjuang. Dalam keadaan mata buka atau pejam, persaingan itu sentiasa ada, cuma persoalannya, adakah kita mampu berikan yang terbaik. Aku memilih pegangan untuk berjoging kira-kira tiga kilometer bagi setiap sesi kerana aku percaya, bila waktu diperlukan, aku boleh berlari lebih laju dari sepatutnya dan lagipun, memang banyak perkara yang kita kena lari.
Sun Tzu adalah bercakap mengenai menguasai bumi untuk menguasai peperangan. Aku fikir dalam konteks ini, aku perlu siap sediakan tubuh aku sebelum aku boleh keluarkan sepenuhnya akal aku. Banyak waktu sebenarnya, aku berasa kecewa. Sering kali dalam permainan badminton, banyak muslihat dan taktik yang sebenarnya dapat aku fikirkan, tetapi sebab aku gagal menguasai nafas dan pergerakan tubuh ini, ia tidak lebih dari angan-angan, Bukan sahaja badminton, malah dalam banyak aktiviti lain, kegagalan untuk bersedia ini menyebabkan aku menjadi ketinggalan. Silap aku pun sebab aku sekarang banyak berkawan dengan selimut, tilam dan bantal. hampeh betul.
Tetapi aku tahu makna kelebihannya bila mata ini boleh melihat jauh, dan aku juga faham keupayaan apabila pergerakan itu boleh dibaca. Ya, aku perlukan nafas. Lebih penting lagi, aku perlukan roh untuk hidup. Kecewa itu sebahagian dari kitaran. Aku boleh kalah tetapi biarlah kalah itu sesuatu yang aku tidak kesalkan kerana menang itu lebih baik. Perbezaan itu jelas. Walau apa pun keputusannya, aku redha namun dalam senyuman yang kecil ini, aku tetap mahu mencuba yang terbaik dari usahaku untuk mengetahui takdirku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sahabat ....
Jumaat ini aku mendoakan yang baik2 untuk kita bersama maka aminlah bersama aku dan yang lain.
Amin ...
Amin
Post a Comment