AKU cukup meminati seni dan sastera. Biarpun, aku bukan seorang yang cukup dalam untuk menghayati sastera, aku tetap merasakan ada sesuatu yang indah di dalamnya. Permainan kata-kata, pencarian tersirat dan perjalanan cerita kehidupan, kesemua itu merangkum seni dan sastera sebagai satu medium yang cukup mengkagumkan. Namun begitu, ada sesuatu yang cukup menyedihkan bila melihat perkembangan seni dan sastera negara sejak akhir-akhir ini. Tiada apa yang mungkin dapat kita banggakan hari ini. Kalau ada pun kelompok itu cuma menjadi minoriti dalam masyarakat. Adakah itu nasibnya? Kemanakah hilangnya Asas 20? Tidakkah kita patut mempunyai Chairil Anwar kita sendiri?
Perjalanan kehidupan tidak semestinya indah. Tambahnya dengan saya yang menulis artikel ini, pandangan yang keluar amat cetek kerana ia hanya berdasarkan pemerhatian sekeliling semata-semata. Saya tidak keluar mencari sebaliknya saya tunggu mereka datang. Tapi tidak banyak yang datang kerana dunia komersil tidak membenarkannya. Saya mengharapkan ada sesuatu yang mungkin dapat mengubah kita semua. Dan perlahan-lahan saya mula faham, seni dan sastera di Malaysia sedar tidur. Ia tidak mungkin akan bangun mengejutkan kita. Melainkan kita mengejutkan dia sendiri. Akhirnya, perkara tersebut terletak di tangan kita jua.
Di mana salahnya? Salah sasterawan yang tidak pandai berkarya atau salah masyarakat yang tidak pandai menghargai? Mungkin sasterawan tidak dapat melihat untungnya dengan apa yang mereka lakukan. Melainkan mereka yang benar-benar jujur dengan apa yang mereka percaya, orang-orang sebegini sememangnya benar-benar cekal dan akan terus berkarya. Sayangnya jumlahnya amat kecil. Kalau hendak difikirkan, berapa sangat perolehan yang sasterawan miliki dalam setiap karya mereka. Kalau tidak kerana ia menjadi sebahagian daripada buku teks di sekolah, atau pengkarya itu sendiri bekerja dengan perkhidmatan awam, mungkin mereka terpaksa makan pasir. Siapa yang sanggup makan pasir? Realiti kehidupan kemungkinan membunuh seni itu sendiri. Dalam jiwa setiap penggiat seni, sentiasa ada satu suara yang menjerit-jerit meminta keluar. Mereka ingin sekali menyampaikan sesuatu, sayangnya mereka yang mendengar cukup sedikit sekali. Dan di situ sahajalah, suara itu akan terus berada.
Dan perkara itu mungkin tidak menghairankan bagi masyarakat kita yang masih terlalu muda. Sebagai sebuah negara yang baru berusia 48 tahun, kita masih tercari-cari identiti. Masih tiada asas. Sejarah untuk direnung kembali pun masih terlalu kabur. Kalau bercakap tentang jati diri, pendirian politik pula akan keluar. Bila berkata tentang seni, ada yang mungkin terus terkiblatkan dunia seni barat. Dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai bangsa, proses untuk membentuk jiwa seni seni yang dapat diterima oleh kesemua bangsa Melayu, India dan Cina besar sekali terbatas atas kepentingan masing-masing.
Terperangkap dalam dunia komersil, mungkin itu yang wajar disifatkan kepada faktor utama dalam masalah ini. Mereka yang hidup dalam arus semasa, jarang sekali merenung kembali apa yang kita ada. Sebaliknya, hanya mencari perkara yang mempunyai kepentingan dan keseronokan diri semata-mata. Semua ingin mencari keuntungan. Perkara yang tidak menjana wang sama sekali akan dipinggirkan. Justeru itu, seni dan sastera akan sentiasa terlantar dalam kelompok diri mereka sahaja. Walhal, masyarakat tidak menyedari ada banyak perkara yang boleh mereka belajar dari seni dan sastera.
Leonardo Da Vinci, selain daripada seorang pelukis, beliau juga seorang saintis. Ketajaman pemikirannya melampui zaman dan beliau mampu mencurahkan imaginasinya di atas kanvas tanpa batasan. Pokoknya, daripada imaginasilah yang membawa dia ke tempat dia berada kini. Imaginasi di sini bukan lebih kepada angan-angan, tetapi ia adalah satu wawasan. Gambaran masa depan yang cukup indah. Dalam dunia beliau, nombor-nombor dan sajak-sajak bergabung menjadi satu. Apa yang lagi menarik, intepretasi yang berbeza mewarnakan lagi ia. Namun, bagaimana semua ini dapat bercantum bersama? melalui seni dan sastera jawapannya.
Sayangnya, masyarakat tidak melihat semua itu. Sastera adalah sastera. Seni adalah seni. Sains adalah Sains. Politik adalah politik. Kesemuanya terpisah akibat pemikiran kita yang tak ubah macam tempurung kelapa. Lihatlah anak-anak muda bangsa di sekolah, mereka melihat ini semua dalam satu sudut yang akhirnya membantutkan imaginasi mereka sendiri. Mereka tidak mungkin akan ke hadapan jikalau tiada imaginasi yang ingin mereka gapai. Maka jadilah mereka satu hari nanti sebagai robot-robot yang bekerja tanpa mempunyai erti kehidupan.
Perkara ini tidak berlaku kepada pelajar sains sahaja malah kepada pelajar sastera juga. Mungkin ini apa yang terjadi kepada penggiat seni apabila mereka masuk ke dalam dunia akademik. Mereka akan menjadi robot-robot yang mengusahakan kertas kerja, bengkel dan seminar. Bahasa mereka mula kaku. Seni itu kosong. Apa yang mereka perkatakan ialah apa yang mereka lalui semata-mata. Atau bacaan ilmiah yang mereka baru-baru ini membaca. Tiada apa untuk dikongsi. Tiada ada apa untuk direnungi. Dalam hal ini, kita tidak akan dapat lagi bercakap tentang ketulusan yang lahir dari sebuah jiwa. Kita mungkin dapat membaca sebuah kertas kerja daripada persidangan tetapi dimanakah cerita kehidupan yang kita sebenarnya ingin dengar.
A. Samad Said, Arena Wati, Usman Awang, P. Ramlee, Ahmad Yatim, Md Sani Md Dom, Suzlee Ibrahim, adalah antara nama-nama besar yang memberi wajah kepada sastera dan seni kita. Tapi mereka semua akan pergi, malah ada yang sudah pergi, soalnya siapakah yang dapat menggantikan mereka? Usaha itu tidak berkesinambungan. Terdapat jurang besar membezakan mereka dengan generasi-generasi muda. Dunia komersial menyebabkan sastera terpinggir sehingga tiada siapa yang ingin mengangkat tokoh-tokoh ini dan karya-karya yang mereka pernah nukilkan. Pasaran buku negara tenggelam dibanjiri dengan novel-novel cinta yang hanya menghanyutkan pemikiran. Dunia filem pula sarat filem-filem yang dilakonkan oleh patung-patung dengan pengarah atau penerbit hanya tahu mengejar untung cepat tanpa mengambil berat cerita yang mereka sampaikan. Pameran lukisan pula sentiasa lengang tanpa ada masyarakat yang sanggup mencuri kesibukan masa menjenguk karya-karya lahir dari sepasang tangan ajaib. Kenapa kita membiarkan komersial membunuh seni dan sastera. Bukankah kita patut angkatnya kembali. Kenapa seni dan sastera itu sendiri tidak boleh menjadi satu komersial. Masyarakat kita memang kejam. Tanpa sedar, kita sendiri yang akan membunuh kedua-duanya.
-habis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment