Ketidak sempurnaan. Ia tidak asing dalam hidup ini. Setiap hari ia dilalui. Ia adalah waktu di mana kau akan menyumpah-nyumpah diri kau. Suatu waktu yang mana kau rasa diri ini terlalu bodoh dan malang. Keadaan di mana kau cemburu dengan kehidupan orang lain. Kau melihat diri kau dengan tabiat buruk yang tidak berubah-ubah. Ia suatu masa di mana kau tertunduk bawah dan bingung kenapa keadaan tidak boleh menjadi sebaliknya.
Bagaimanapun, ada seorang kawan aku memberi nasihat yang cukup pelik. Dia memberitahu ''kau kena tipu diri kau,''. Tipu diri? Meminta aku menghadapi ketidak sempurnaan dengan menipu diri, perkara itu terlalu pelik rasanya.
Namun aku kena melihat apa yang diperkatakan itu sekali lagi kerana orang yang memberi nasihat itu kini belajar sebagai seorang doktor dan dia dulu yang kaki bangku kini gagah bermain bola. Bayangkan sekiranya aku tipu diri aku sepenuhnya sejak darjah satu dahulu, mungkin aku sekarang ini seorang arkeologis yang berjaya. huhuhuhuhuuhu.
Manusia tidak lepas dari ketidak sempurnaan tapi dengan menipu diri, kau mungkin dapat menyentuh sedikit kesempurnaan. Ia tidak pernah lengkap namun ia cukup rasanya. Kerana ia satu alasan yang kukuh untuk tidak berserah kepada kekecewaan.
Rasanya pendapat tersebut telah menyimpulkan teori aku mengenai dunia yang kita pijak ini tidak mempunyai ketentuan mutlak. Realiti bukan hanya datang daripada apa yang berlaku, ia juga boleh datang daripada apa yang kita fikirkan. Apa yang sebenarnya kawan aku hendak perkatakan tentang 'tipu diri' itu sebenarnya adalah 'buat percaya'. Kita adalah apa yang kita percaya. Bukankah begitu.
Cuma sekarang ini, aku perlu mengingatkan diri ini yang laluan itu tidak pernah mudah. Roda hidup akan sentiasa berputar dan dengan kita sekali akan terbalik. Kesilapan aku dahulu ialah kerana aku terlalu gopoh sehingga aku lupa faktor ini. Aku akhirnya melepaskan mimpi aku dan membiarkan diri ini hanyut. Sehingga sampai ke satu saat, aku tidak tahu lagi apa untuk percaya.
Kawan aku itu pun pernah mengalami saat-saat kejatuhan. Kelakarnya, dia memberitahu yang dia mengulangkaji pelajaran dengan tidak habis-habis menyumpah dirinya 'kenapa bodoh sangat'. Dari situ, aku dapat melihat perbezaan antara orang yang berusaha dengan orang yang tidak berbuat apa-apa. Aku tidak ingin memperbandingkan sangat antara kehidupan antara aku dan dia kerana laluan kami berbeza. Aku pun dahulu berusaha juga cuma aku tidak pernah segigih dia. Aku tidak pernah dapat 'buat percaya' sebagaimana dia dapat 'buat percaya'.
Sekarang ini, aku teringin benar melihat hidup aku semula dengan pandangan yang berbeza. Aku tidak dapat mengubahnya sekaligus. Terlalu gopoh rasanya. Lagipun aku mula faham mengenai keadaan ketidak sempurnaan. Biar ia sedikit demi sedikit namun cukup untuk menyatakan aku telah melakukannya atau aku telah melaluinya. Realitinya tidak pernah sempurna namun semuanya untuk kebaikan, bukan.
1 comment:
aku bagi nasihat kepada diri aku sendiri, ...menarik, sekarang ini, aku nak dengar nasihat aku sendiri atau tidak?
Post a Comment