Monday, July 02, 2007

buka mata awak

Sebatang rokok sedang membakar dirinya. Tembakau yang kemerahan menyala, asap kelabu saling melingkari mengangkat diri ke langit. Hidungku menghembus keluar asap yang ku sedut sebentar tadi. Aku dapat merasakan nikotin mengalir ke dalam darahku. Otak aku bergetar dan tubuhku agak kebas. Rokok itu bagaimanapun, aku biar terus melekat di bibirku.

Kelam. Gelita. Dunia yang terang tadi, dalam sedetik bertukar gelap. Aku tidak dapat lagi berpijak pada bumi nyata. Tubuhku tiba-tiba jatuh ke satu jurang yang amat dalam. Rokok di bibir tadi terus sahaja melayang. Terasa angin dari bawah menolak-nolak mengherotkan mukaku. Tubuhku terus berpusing-pusing. Aku cuba memaut kepada apa sahaja yang dapatku capai. Usaha aku sia-sia dengan aku terus jatuh menjunam ke bawah.

Alam masih gelap namun aku tahu aku telah sampai ke dasarnya. Aku melihat ke atas. Ada satu cahaya yang amat kecil. Halusnya bagai satu titik. Adakah ini kematian? hatiku berbisik perlahan. Adakah ini balasan untuk apa yang aku lakukan selama ini. Tidak dapat aku baca apa yang cuba diberitahu. Bagi aku, kegelapan ini satu penjara. Tiada lagi indah langit. Tiada lagi indah senyuman. Aku melutut menyedari semua ini satu kesepian.

Aku tidak dapat mengira lagi berapa hari aku terperangkap dalam kegelapan. Lubang sempit itu tetap mengepung jasadku.Tiada makan. Tiada minum. Aku bagaimanapun telah menghabiskan kesemua sembilan batang rokokku dengan mancis yang ada. Sesekali aku melaungkan maaf. Aku membebaskan semua kesesalan. Aku manusia yang tetap tidak lari dari kesilapan namun bukankah kita sepatutnya belajar daripadanya. Atau.... atau.... atau kesilapan-kesilapan itu terlalu besar sebenarnya.

''Buka mata awak,'' aku bagai tidak percaya tetapi aku seperti dapat mendengar satu suara. Bisiknya lembut bagaikan seorang kawan lama yang aku kenal dahulu.

''Buka mata awak,'' suara itu keluar lagi tetapi aku masih tidak dapat melihatnya dari mana. Dalam keadaan yang gelap-gelita, bukankah tetap sama samada aku membuka mata atau tidak.

''Buka mata awak!,''

Gelap, masih lagi gelap. Namun aku dapat melihat kembali bilah-bilah cahaya. Sedikit demi sedikit aku dapat merasakan sesuatu. Mataku berpinar dengan semuanya tampak kabur. Aku mengosokkan mataku berkali-kali dan akhirnya aku dapat melihat diriku berada di sebuah taman permainan. Ada terdapat beberapa kanak-kanak yang sedang asyik berkejaran. Aku tersenyum melihat mereka. Satu usia yang cukup aku rindukan.

Aku melihat ke sebelah mana tahu ada siapa-siapa di sisi. Nyata sekali tiada. Aku masih lagi keseorangan. Namun begitu, ada sebatang rokok tersepit di celah jariku. Aku menarik asap tembakau Dunhill sedalamnya dan menghembuskan tinggi ke atas. Aku membuka mataku seluasnya. Sekurang-kurangnya aku masih ada lagi indah langit.

No comments: